NARATHIWAT, 12 Sept: Mengenali masyarakat Muslim di Thailand bukan lagi perkara asing bagi rakyat Kelantan, malah ramai mempunyai hubungan persaudaraan.
Namun bagi masyarakat Islam yang tinggal di Bangkok dan di wilayah-wilayah di utara Thai jarang dikenali kerana kedudukan geografi jauh dan komunikasi berlainan.
Mereka tidak bertutur bahasa Melayu seperti masyarakat Islam di wilayah selatan, sebaliknya menggunakan bahasa Siam.
Oleh itu bagi mengenali lebih dekat komuniti masyarakat Islam di utara Thailand, Konsul Diraja Thailand di Kota Bharu membawa pemimpin masyarakat Islam, pentadbir, pendidik dan wartawan Kelantan menyertai lawatan muhibah ke Thailand bermula hari ini.
Seramai 35 peserta yang mewakili beberapa jabatan kerajaan dan syarikat media dibawa melawat beberapa wilayah di selatan Thailand, Hadyai, Bangkok, Ayutthaya dan Chiangmai.
Rombongan berkenaan diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Ismail Saamah akan berada di Thailand sehingga 17 September ini.
Turut menyertai rombongan berkenaan, Senator Datuk Dr Johari Mat, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Muhammad Salleh, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Islam Kelantan, Muhammad Ya dan Penolong Pengarah Jaheaik, Saibon Ismail,
Turut diundang beberapa wakil agensi media antaranya Berita Harian, Metro, Utusan Malaysia dan Harakahdaily.
Di Narathiwat pagi ini rombongan mendengar taklimat disampaikan Timbalan Gabenor Narathiwat, Dejrat Simsiri.
Selepas itu diadakan pula perjumpaan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat. Dan selepas ini bertolak ke Pattani bagi mengadakan perjumpaan dengan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani.
Manakala esok akan diadakan taklimat oleh Gabenor Yala dan perjumpaan dengan Majlis Agama Islam Yala. Perjumpaan juga akan diadakan dengan Setiausaha General Pentadbir Wilayah Selatan. Dan pada sebelah petang bertolak ke Bangkok.
Perjumpaan dengan Menteri Luar Thailand, Surapong Tonchakchaikul juga akan diadakan sempena lawatan itu.
Sementara itu Ismail ketika ditemui berharap lawatan berkenaan akan dapat memberi pengalaman baru dan mengetahui perkembangan penduduk Islam di Thailand.
“Kita berharap akan mendapat manfaat yang lebih baik sempena lawatan ini khususnya dalam mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan Thailand,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan