12 September 2011

Veteran PAS Gua Musang meninggal dunia

14 Syawal 1432H. [MOD] -


GUA MUSANG, 12 Sept: Aktivis veteran PAS yang juga seorang usahawan, Zakuan Taib, 69 meninggal dunia akibat sakit kanser di Hospital Gua Musang kira-kira jam 2 pagi tadi.
Allahyarham sebelum ini dirawat di hospital sejak tiga bulan lalu. Beliau meninggalkan dua isteri dan lima anak. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Papan II pagi tadi.
Sebelum itu solat jenazah ke atasnya diadakan di rumah salah seorang isterinya di Taman Rahimah, Kampung Pulai.
Allahyarham Zakuan merupakan seorang usahawan berjaya. Beliau juga memiliki stesen pam minyak Petronas.
Sebelum menyertai PAS beliau merupakan antara pengasas Parti Melayu Semangat 46 di Gua Musang dan mempunyai hubungan rapat dengan bekas presiden parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.
Bagaimanapun sebelum Semangat 46 dibubar Allahyarham menyertai PAS dan pernah dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS kawasan Gua Musang.
Yang Dipertua PAS Gua Musang, Abdullah Hussain berkata, kematian Allahyarham Zakuan merupakan satu kehilangan besar memandangkan Allahyarham seorang aktivis PAS yang komited terhadap perjuangan.
”Allahyarham banyak menabur jasa kepada perjuangan Islam di sini sepanjang hayat selepas meninggalkan Semangat 46.
”Beliau merupakan antara penggerak utama PAS memandangkan Gua Musang merupakan kubu Umno sejak kawasan parlimen itu diwujudkan,” katanya.
Pada Ramadan lalu isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan rombongan Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) menziarahinya.
”Semoga rohnya ditempatkan bersama orang soleh,” kata Ustaz Abdullah yang juga Penyelia Parlimen Gua Musang. Al Fatihah

Tiada ulasan: