12 September 2011

Rakyat Amerika Syarikat peringati 11 September

14 Syawal 1432H. [MOD] -



Penduduk Amerika daripada pelbagai agama memasang lilin sambil bertafakur memperingati mangsa serangan 11 September pada satu majlis memperingati tragedi itu 10 tahun lalu di tengah Los Angeles, kelmarin. - AFP

NEW YORK 11 Sept. - Rakyat Amerika Syarikat (AS) hari ini mengadakan upacara bagi memperingati serangan pada 11 September 2001 ke atas AS, yang mengorbankan hampir 3,000 orang.

Pihak berkuasa dalam pada itu mengambil langkah ketat untuk memastikan hari memperingati ulang tahun ke-10 tragedi tersebut berlangsung dalam suasana aman.

Penguat kuasa undang-undang di New York dan Washington diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga terhadap apa yang digambarkan sebagai ancaman komplot al-Qaeda 'yang boleh dipercayai tetapi belum disahkan', sedekad selepas menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini runtuh akibat dirempuh dua pesawat penumpang yang dirampas.

Kawalan keselamatan sangat ketat di Manhattan, dengan polis mendirikan sekatan pemeriksaan di jalan raya serta jambatan dan terowong menghala ke bandar raya ini.

Presiden Barack Obama dan bekas Presiden George W. Bush, yang menjadi Presiden semasa serangan itu, adalah antara tokoh kenamaan yang dijadual menghadiri upacara memperingati mangsa di bekas tapak WTC, Ground Zero di New York.

Kedua-duanya menyertai keluarga mangsa untuk mendengar nama mereka yang terkorban dalam serangan itu dibacakan.

Dalam serangan itu, 19 anggota al-Qaeda merampas empat pesawat penumpang, dua daripadanya merempuh WTC, satu merempuh bangunan Pentagon di luar Washington, manakala satu lagi terhempas di sebuah ladang di Shanksville, Pennsylvania.

Bagi memperingati serangan itu, Obama dijadual melawat ketiga-tiga lokasi serangan. - Reuters

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

http://wanwidget.com/
bagus apabila umat muslim juga turut bersama dalam memperingati cuma jgn lah ingat yg kejadian itu org muslim yg lakukan..