12 September 2011

Mengapa Malaysia guna pakai perlembagaan Reid

14 Syawal 1432H. [MOD] -


MIRI, 12 Sept: “Kalau benar Tanah Melayu tidak dijajah, sudah tentu kita tidak perlu kerajaan British merangka perlembagaan Tanah Melayu,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.
Katanya, sedangkan Suruhanjaya Reid yang merupakan sebuah suruhanjaya bebas berperanan merangka Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos 1957.
Suruhanjaya itu dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, Lord William Reid.
Ahli Suruhanjaya Reid terdiri daripada Lord William Reid (pengerusi), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan).
“Sekarang kita hendak tanya kepada profesor Zainal Kling dan pimpinan Umno kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British buat apa perlembagaan tanah Melayu mesti dibincang di Parlimen British dan tidak diputus sendiri oleh kerajaan Tanah Melayu pada masa tersebut?” tanya Jofri dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, kalau negara bebas daripada penjajah, sudah tentu merangka perlembagaan sendiri tanpa perlu campur tangan atau kelulusan dari negara luar.
“Mengapa Tanah Melayu dan Malaysia sekarang masih mengguna pakai perlembagaan Suruhanjaya Reid?
“Mengapa tidak dihapus sama sekali perlembagaan Reid dan kita rangka dan gunakan perlembagaan yang sesuai dengan adat resam dan budaya tanah Melayu/Malaysia sendiri atau sekarang kita rangka perlembagaan menurut syariah?” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Miri.
Sedangkan, katanya semua ahli Suruhanjaya Reid dari negara luar, tidak ada yang dari kerajaan tempatan atau tanah Melayu.
“Inilah beberapa persoalan yang perlu dijawab dan difikir bersama kalau benar tanah Melayu tidak dijajah seharusnya kita sudah bebas menggunakan perlembagaan sendiri dan tidak bergantung dengan negara luar untuk merangka perlembagaan kita,” ujarnya.
Jadi, katanya pemimpin Umno kena bersedia untuk menerima kenyataan yang negara ini memang pernah dijajah oleh British dan yang berjuang melawan kerajaan sebelum merdeka memang pejuang kemerdekaan.

Tiada ulasan: