05 September 2011

Umno seleweng fakta sejarah negara

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Masyarakat kini melihat seolah-olah sejarah kemerdekaan seperti sejarah Umno semata-mata tanpa membabitkan tokoh yang lain.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melihat isu yang berkaitan dengan pensejarahan hari kemerdekaan negara Malaysia ini tidak akan selesai dan menuju titik kesudahan kerana pihak kerajaan Umno BN yang memerintah sememangnya tidak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya.

Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, Umno BN sentiasa mempergunakan isu hari kemerdekaan untuk mempengaruhi, menakutkan dan mengancam rakyat supaya tidak menolak mereka.

Menurutnya, Umno BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa hanya mereka sahajalah yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah yang sebenarnya menukilkan bahawa Umno adalah sebenarnya ‘alat kepada penjajah’.

Beliau berkata, Umno BN cuba meraih simpati politik murahan di atas isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkenaan hari kemerdekaan dan tragedi Bukit Kepong, dengan menunjukkan bahawa merekalah hero yang sebenarnya mempertahankan ketuanan Malaysia dan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara tanpa memberika ruang untuk Pakatan Rakyat menjawab balas.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya bahawa Timbalan Presiden PAS mempunyai hujah dan fakta yang kukuh serta bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang beliau keluarkan,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengganggap sejarah kemerdekaan Malaysia masih ada banyak kelompongan fakta yang perlu ditambah dan diperbaiki terutamanya yang membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang telah mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah.

Katanya, tokoh-tokoh ulama seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang selain Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr. Burhanuddin Al Helmi juga merupakan pahlawan yang melawan penjajah di zaman masing-masing yang telah dinafikan hak mereka sebagai tokoh kemerdekaan negara.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia dapat dikaji dan ditulis semula secara berilmiah dan beradab,” ujarnya.

Katanya, DPPNS meminta supaya pihak sejarawan yang ada di dalam negara ini perlu mendesak pihak kerajaan supaya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membicarakan isu kemerdekaan ini secara telus dan terperinci berdasarkan kajian dan ilmu mereka.

Justeru, ujarnya pihak kerajaan perlu menyediakan pentas untuk perbincangan ilmiah secara langsung yang membabitkan pihak sejarawan ini bersama dengan Timbalan Presiden PAS dan wakil Umno supaya mereka dapat membentangkan hujah dan fakta mereka berkaitan isu sejarah kemerdekaan Malaysia.

Beliau menambah, rakyat kini semakin bijak dan bermaklumat dan akan menerima penghujahan yang berdasarkan fakta yang tepat dan sahih.

“Umno BN tidak dapat lagi memperbodohkan rakyat dengan hujah emosi dan alasan yang tidak bersandarkan kepada fakta kerana Umno BNlah yang selama ini menyelewengkan fakta sejarah negara,” katanya lagi.

Harakahdaily

1 ulasan:

Unknown berkata...

Dalam buku-buku teks sejarah yang di pakai di sekolah-sekolah sebenarnya pejuang-pejuang yang boleh di anggap sebagai perintis tidak di abaikan, memang ada di sebut pejuang-pejuang seperti Mat Saleh di Sabah, Syarif Mashur di Sarawak, Tok janggut di Kelantan, Datok bahaman, mat Kilau di Pahang dan lain-lain yang sezaman memang di sebut. Yang cuba di gelapkan atau di tiadakan dalam buku ialah pejuang-pejuang berfahmanan agama (Ustaz Abu Bakar Al-Baqir) dan pejuang-pejuang berhaluan kiri termasuklah Ibrahim Yaakob, Ahmad Boetamam, Ishak Hj Muhamad(Pak Sako),Shamsiah fakeh dan ramai lagi.