23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dituntut melaksanakan janjinya untuk membayar imbuhan sebanyak RM100 juta setahun kepada Kerajaan Kedah kerana tidak menebang balak di negeri itu.
Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman berkata, janji tersebut bukan hanya dibuat oleh Najib, malah oleh dua bekas Perdana Menteri sebelum ini, tetapi masih belum ditunaikan sehingga sekarang.
Katanya, Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap sahaja untuk membayar imbuhan tersebut, tetapi tidak pula mengambil sebarang usaha untuk melaksanakannya.
"Janji itu telah terlalu lama, malah sejak dua bekas Perdana Menteri sebelum ini dan sekarang perlu ditunaikan sejajar dengan janji yang telah dibuat," katanya ketika berucap pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.
Jika janji itu tidak dilaksanakan juga, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, menurut beliau, berhak menuntutnya kerana Kerajaan Kedah sememangnya berhak mendapat imbuhan tersebut.
Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang keperluan Kerajaan Pusat memberikan imbuhan kepada persatuan pemandu teksi bagi membantu ahli-ahlinya dengan kadar yang berpatutan paling kurang RM15,000 setahun.
Selain itu, beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan agar memberikan elaun kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja penghantaran pesakit menerusi ambulan yang bukan dimiliki oleh hospital, tetapi Persatuan Bulan Sabit Merah dan Jabatan Pertahanan Awam.
Menurutnya, peranan mereka juga penting bagi membolehkan orang sakit atau mereka yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital dengan segera, memandangkan ambulan hospital kadang-kalanya lambat tiba setelah dipanggil.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar mereka yang terlibat dengan kerja-kerja itu diberikan latihan mencukupi, bagi membolehkan mereka memberikan bantuan kepada pesakit dengan betul agar tidak mencederakan atau menambahkan lagi kecederaan pesakit.
"Jika terdapat pesakit yang perlu dimasukkan air ke dalam badannya, sekiranya mereka diberikan latihan, bolehlah mereka melakukan kerja-kerja itu dengan betul bagi membantu pesakit sepanjang berada di dalam ambulan," tegasnya.
Menyentuh tentang kepentingan pelajaran anak-anak, beliau menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi melakukan penyelarasan terhadap tawaran masuk para pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Katanya, kini tawaran masuk para pelajar ke IPTA agar lambat berbanding tawaran yang diterima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), sehingga terdapat para pelajar yang telah menerima tawaran ke IPTS terlebih dahulu sebelum ke IPTA.
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya, diumumkan pada bulan Mac, manakala tawaran dari IPTS telah diterima oleh para pelajar sekitar bulan Jun dan ke IPTA pula sekitar bulan September.
"Disebabkan tawaran ke IPTA lambat, terdapat pelajar yang telah menerima tawaran ke IPTS terlebih dahulu kerana bimbang tidak akan mendapat tawaran ke IPTA.
"Apabila tawaran ke IPTA diterima kemudiannya, terdapat pelajar yang menanggung kerugian sehingga RM500 akibat membayar yuran yang tidak akan dipulangkan kembali kepada pihak IPTS terlebih dahulu," ujarnya.
Sebelum itu juga, beliau turut menyarankan Kementerian Kewangan agar turut membayar elaun kepada kakitangan kumpulan sokongan yang bertugas di hospital, setelah pihak kerajaan memutuskan untuk membayar elaun khas kepada para doktor dan pembantu perubatan baru-baru ini.
Beliau sebelum itu turut menuntut Kerajaan BN melaksanakan janjinya untuk membina hospital di Pendang di atas tapak seluas 40 hektar dengan kos RM150 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, memandangkan janji tersebut telah diulang banyak kali setiap kali pembentangan bajet dilakukan setiap tahun.
"Jadi bilakah lagi nak dibina hospital di kawasan itu? Janganlah hanya menunggu hendak diadakan pilihanraya barulah nak dibina hospital di Pendang," katanya.
Di awal ucapannya, beliau mendesak Kerajaan Pusat mengambil perhatian ke atas nasib para petani, khususnya yang mengusaha tanaman padi agar membantu memberikan benih padi kepada mereka, memandangkan para petani di kawasan Pendang khususnya dan di Kedah amnya kini mengalami kekurangan benih padi.
Kejadian tersebut, menurut beliau, tidak akan berlaku sekiranya perancangan yang dibuat oleh pihak kerajaan betul, tetapi disebabkan terdapat permainan politik di sebaliknya menyebabkan para petani pula yang terpaksa menanggung akibatnya.
Katanya, masalah tersebut tidak sepatutnya dipandang mudah oleh kerajaan kerana ia amat penting bagi kepentingan bekalan beras negara, memandangkan Malaysia kini hanya mempunyai stok beras sebanyak 295,000 tan sahaja setahun.
"Selebihnya, iaitu sebanyak 60 peratus lagi terpaksa diimport dari negara lain termasuk dari Thailand, tetapi Thailand pula baru-baru ini telah dilanda banjir sehingga menyebabkan 1.8 hektar kawasan tanaman padi di negara itu ditenggelami banjir.
Sebelum itu, beliau bertanya kepada Kerajaan BN mengenai status jalan raya yang hendak dibina oleh JKR khususnya jalan timur barat Pendang ke Sungai Tiang yang menelan belanja RM160 juta.
"Projek itu menelan belanja yang besar, tetapi status jalan itu sendiri pun tidak dimaklumkan. Adakah Lebuh Raya Timur Sepang? Apakah status sebenarnya jalan itu?" katanya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan