21 Oktober 2011

Selangor Mahu Wujudkan Insurans Bagi Pekerja Yang Diberhentikan

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor akan mengadakan rundingan dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi mewujudkan skim insurans untuk melindungi pekerja yang diberhentikan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata skim seperti ini mampu mengurangkan beban yang ditanggung mereka yang kehilangan kerja sekiranya berlaku kegawatan ekonomi pada masa hadapan.

"Skim ini bukan berbentuk pampasan sepenuhnya tetapi cukup untuk membantu mereka yang kehilangan kerja berdepan dengan hari-hari yang sukar. Saya berharap dapat mengadakan perbincangan dengan MEF mengenai perkara ini," katanya ketika pada majlis makan tengahari bersama pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Bangunan SSAAS di Shah Alam, hari ini.

Menjawab soalan salah seorang tetamu, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri Selangor memandang serius kebajikan pekerja dan tidak berkompromi jika pekerja terbabit tidak dilayan secara adil oleh majikan.

"Oleh kerana itu kita menubuhkan dengan segera pasukan khas bagi menbantu pekerja di negeri ini yang hilang pekerjaan ketika ekonomi gawat pada 2008," katanya yang merujuk kepada pasukan khas yang dianggotai wakil agensi kerajaan, anak-anak syarikat kerajaan negeri, MEF, MTUC, Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) dan Agensi Pembangunan Industri Malaysia.

"Walaupun ekonomi semakin baik dan pemberhentian pekerja bukan lagi menjadi isu, pasukan khas ini akan digerakkan semula jika keadaan memerlukan," katanya.

Makan tengahari ini dihadiri lebih 60 ahli MTUC termasuk Presiden MTUC cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Gopal Krishnam, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Industri Peralatan Pengangkutan dan industri bersekutu, Syed Shahir Syed Mohamud serta wakil MEF.

TV NEWS/-

Tiada ulasan: