21 Oktober 2011

PAS Bukit Katil nafi laporan Sinar Harian

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MELAKA, 21 Okt: PAS Kawasan Bukit Katil menggesa akhbar Sinar Harian membuat penafian berita mengenai penyertaan bekas ketua PAS cawangan ke dalam Umno.

Setiausahanya, Ramli Dalip (gambar kecil) menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar tersebut hari ini bahawa 30 ahli PKR Ranting Bukit Piatu Parlimen Bukit Katil bertindak membubarkan ranting tersebut dan bertindak menyerahkan borang menyertai Umno kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam laporan itu, bekas Ketua Ranting PKR Bukit Piatu, Md Said Abu berkata mereka sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR yang tidak menjaga kebajikan ahli.

Gambar dalam akhbar itu juga menunjukkan bahawa bekas Ketua PAS Cawangan Bukit Piatu, Abdul Samad Mamat ada bersama-sama dengan Mohd Ali dan Md Said.

Menurut Ramli, malam tadi beliau telah bertemu sendiri dengan kedua-dua bekas pemimpin cawangan PAS dan ranting PKR Bukit Piatu itu.

Katanya, mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka telah menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Mohd Ali.

"Gambar itu diambil semasa satu majlis yang melibatkan NGO bukannya majlis Umno atau majlis penyerahan borang Umno, mereka telah manipulasikan program tersebut ambil gambar kata Md Said masuk Umno.

"Cikgu Samad juga menafikan beliau menyertai Umno dan beliau masih aktif membantu Penyelia PAS Dun Kuala Linggi," ujarnya yang juga anggota Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Ramli berkata tindakan media itu menyiarkan berita tersebut adalah berniat jahat dan cuba memburuk-burukkan PAS dan PKR khususnya di Bukit Piatu dan Parlimen Bukit Katil.

"Kita menyelidik berita tersebut sebelum menyiarkannya kepada umum, ianya memberikan impak yang besar kepada imej individu yang ditunjukkan dalam gambar tersebut," jelas Ramli.

harakahdaily/-

1 ulasan:

anbyak berkata...

yang benar adalah said abu dan orang2 nya keluar pkr, tapi tak masuk umno , tapi telah menubuhkan kelab penyokong umno