23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Pembantu rumah Indonesia dibenarkan dihantar semula ke Malaysia mulai 1 Disember ini, sekaligus menamatkan moratorium lebih dua tahun untuk penghantaran tenaga kerja sektor informal ke Malaysia.
Keputusan mengenai perkara itu dimumumkan pada sidang akhbar bersama oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di akhir mesyuarat delegasi dua hala pada acara perundingan tahunan Malaysia-Indonesia di Mataram Khamis.
"Kita ketahui banyak saudara Indonesia yang bekerja di Malaysia. Oleh kerana itu, kita sepakat untuk memberi perlindungan dan bantuan sebaiknya kepada tenaga kerja Indonesia.
"Kita juga telah bersepakat bahawa dengan diadakan perubahan tentang pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani pada 2006, mendatangkan perubahan positif kepada Indonesia. Insya-Allah, pada 1 Disember kita akan menormalisasikan hal ini," kata Yudhoyono ketika mengumumkan hasil pertemuan itu.
Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.
Berikutan itu, kedua-dua negara telah berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.
Bagaimanapun penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, telah menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang.
Najib, yang menyambut baik keputusan Indonesia itu, berkata persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua negara menyelesaikan beberapa isu yang selama ini menjadi persoalan kepada proses membawa masuk pembantu rumah Indonesia.
Katanya mengikut kesepakatan hari ini Pasukan Petugas Khas Bersama yang ditubuhkan untuk mengendali urusan pengambilan dan penempatan pembantu rumah diminta mengemukakan laporan penuh kepada beliau dan Yudhoyono bulan depan.
“Semua masalah dan rintangan dapat diselesaikan. Laporan Pasukan Petugas Khas Bersama akan dibuat kepada saya dan Presiden Yudhoyono semasa Sidang Kemuncak Asean di Bali pada 17 dan 18 November ini.
"Kalau semuanya selesai, Insya-Allah tarikh moratorium itu ditarik balik pada 1 Disember ini,” katanya.
Ditanya mengapa tarikh 1 Disember dipilih, beliau berkata ia kerana jadual beliau dan Yudhoyono yang sibuk untuk mengadakan pertemuan semula, dan tarikh-tarikh semasa Sidang Kemuncak Asean di Bali memberi peluang kepada mereka bertemu kembali untuk pertemuan bilateral.
Perdana menteri turut memberi peringatan kepada bakal-bakal majikan di Malaysia agar tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Indonesia, yang bersetuju untuk menghantar semula pembantu rumah ke Malaysia.
Indonesia merupakan pembekal utama tenaga kerja di sektor tidak formal di Malaysia.
Najib berharap rakyat Malaysia tidak akan lupa untuk membalas keikhlasan dan ketulusan Yudhoyono dalam membuat pertimbangan untuk menarik balik moratorium ini dengan kebaikan juga, bukannya dengan penganiayaan terhadap pembantu rumah mereka.
“Yang penting tidak lakukan apa-apa penganiayaan, penderaan fizikal dan psikologi sebab ini akan membuat mereka terhiris hati. Walaupun satu dua kejadian yang menimpa tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
"Saya meminta semua bakal majikan memahami perkara ini untuk menjaga persepsi Indonesia terhadap rakyat Malaysia,” katanya.
Perdana menteri berkata persoalan tentang pembantu rumah Indonesia merupakan topik yang hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia termasuk di kalangan pengikut beliau di laman sosial facebook dan twitter.
Kebanyakan mereka meletakkan harapan agar isu moratorium itu dibincang dan dicari penyelesaian segera melalui perundingan dengan Presiden Indonesia.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan