21 Oktober 2011

Selangor peruntuk RM4 juta untuk sekolah Tamil

23 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 21 Okt: Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM4 juta bagi tujuan pembangunan pendidikan kepada Sekolah Jenis Tamil seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali (gambar) berkata, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM16 juta yang diperuntukkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pada 2011.

Katanya, bagi penyerahan bantuan pendidikan fasa pertama kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM6,692,786 termasuk 121 buah sekolah (SRA), 75 buah (SJKC) dan 97 buah (SJKT).

Menurutnya, sebanyak 97 buah sekolah telah menerima peruntukan bantuan pendidikan fasa pertama yang telah diserahkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Selangor pada 9 Jun yang lalu.

“Peruntukan untuk Sekolah (SKJT) bagi fasa 2 ini sebanyak RM1,385,400 dengan melibatkan 43 buah sekolah yang layak menerima bantuan tersebut melalui tapisan Jawatankuasa Kecil Penilaian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT),” katanya pada majlis penyerahan bantuan fasa dua bagi SRJK, kelmarin.

Katanya, semasa bantuan diberikan pada Jun yang lalu telah umumkan bagi sekolah-sekolah yang inginkan bantuan, mereka boleh membuat permohonan yang bermula pada 10 Jun dan berakhir pada 11 Julai.

“Bantuan pendidikan ini akan di buat penilaian terlebih dahulu ke atas permohonan yang dibuat daripada sekolah-sekolah. Ia berdasarkan keutamaan dan keperluan sekolah tersebut iaitu baik pulih dan pembinaan infrastruktur sekolah dan program pembangunan pendidikan,” ujarnya yang juga Adun Selat Klang.

Dr Halimah berharap Jawatankuasa PIBG SJKT bekerjasama dengan pentadbiran sekolah bagi membantu dan merancang meningkatkan kemudahan infrastruktur dan menyediakan program- program pembangunan pendididikan yang berkualiti untuk para pelajar.

“Jawatankuasa PIBG SJKT juga hendaklah amanah dengan peruntukan yang diberikan ini. Semoga dengan adanya bantuan daripada kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) tanpa mengira ideologi politik sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan pencapaian di sekolah masing-masing,” katanya pada majlis yang diadakan di ruang legar Bangunan SSAAS.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: