04 Oktober 2011

Simbol kekejaman di Syria

6 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Seorang gadis berumur 18 tahun diculik sebelum dibunuh tanpa belas kasihan.

Zainab Alhusni, hanyalah seorang tukang jahit biasa yang amat disayangi semua di kawasan kejiranannya.

Dalam satu peristiwa tragis, Zainab menjadi simbol kekejaman di Syria yang sedang dilanda konflik semakin meruncing.

Gadis berumur 18 tahun itu, dilihat kali terakhir oleh keluarganya di rumah mereka yang terletak di Homs, sebelum dia keluar ke kedai untuk membeli barang keperluan.

Zainab dipercayai ditahan oleh pasukan keselamatan Syria untuk dijadikan tebusan, kononnya bagi membolehkan abangnya yang juga seorang aktivis menyerah diri.

Bagaimanapun, kumpulan aktivis hak asasi manusia mendakwa remaja itu diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan kerana kepalanya dipenggal dan tubuhnya dikerat.

Jirannya, Waleed Fares berkata, bapa Zainab meninggal dunia ketika dia masih kecil dan ibunya terpaksa menyara hidup tiga anaknya di negara yang tidak mengambil berat terhadap keperluan ibu tunggal.

Kesemua anaknya terpaksa berhenti sekolah supaya mereka boleh bekerja sebagai buruh untuk menambah pendapatan keluarga.

Sebelum ini, Zainab pernah bercita-cita membuka kedai jahitnya sendiri supaya boleh menanggung keluarganya.

Abangnya, Mohammed Alhusni menjadi aktivis terkenal di bandar barat Syria, dia sering mengetuai demonstrasi menentang pasukan keselamatan rejim Presiden Bashar al-Assad.

“Penunjuk perasaan akan mengangkat Mohammed di bahu mereka, supaya dia boleh melaungkan slogan menentang kerajaan. Mohammed sangat disayangi semua orang,” katanya.

Mereka akan memuji-mujinya dengan menggunakan nama panggilan; ‘Abu Ahmed. semoga Allah melindungi kamu!’

Pasukan keselamatan memburu Mohammed selama beberapa bulan dan turut melakukan serbuan di rumah keluarganya beberapa kali sehingga mereka terpaksa berpindah ke kawasan kejiranan berhampiran, 25 Julai lalu.

Jiran keluarga tersebut berkata, pada 27 Julai lalu, Zainab tidak pulang ke rumah.

“Jika abangnya yang ditahan, keadaan mungkin lebih berbeza. Tetapi mereka ‘menculik’ Zainab, anak perempuan yang menjadi lambang kebanggaan dan kehormatan keluarga. Ibunya terlalu tertekan sehingga menjadi seperti mayat bernyawa,” menurut Fares lagi.

Jiran dan keluarga terdekat saling memberikan sumbangan untuk meringankan masalah kewangan yang ditanggung keluarga itu.

Beberapa hari selepas Zainab hilang, anggota pasukan keselamatan mahu mengadakan pertemuan untuk menukarkan gadis tersebut dengan abangnya di kawasan kejiranan pro Assad.

“Keluarga itu tidak percaya dengan kata-kata mereka kerana ia mungkin perangkap untuk menangkap Mohammed. Mereka sendiri tidak pasti sama ada Zainab masih hidup atau sebaliknya,” tambahnya.

Pada 10 September, Mohammed terkorban semasa melakukan tunjuk perasaan.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik oleh adiknya, Yousif Alhusni ke dalam laman YouTube, dia mendakwa abangnya ditembak berkali-kali di dada dan satu das tembakan lagi dilepaskan ke dalam mulutnya.

“Tangannya juga patah dan terdapat juga kesan cucuhan rokok pada mukanya,” menurut Yousif.

Semasa keluarga tersebut mahu menuntut mayat Mohammed di hospital, beberapa doktor mendakwa terdapat satu lagi mayat ditandai dengan nama ‘Zainab Alhusni’ dan tidak dituntut oleh sesiapa.

Semua ahli keluarganya terkejut melihat keadaan mayat Zainab yang sangat menyayat hati angkara mereka yang tidak berhati perut, kepala dan tangannya dipancung serta beberapa bahagian tubuhnya melecur mungkin akibat dibakar dengan kejam.

Dalam satu kenyataan secara dalam talian oleh Amnesty International, pihak berkuasa memaksa ibu Zainab menandatangani dokumen mengesahkan, kononnya anaknya diculik dan dibunuh kumpulan bersenjata.

Timbalan Pengarah Amnesty International di Timur Tengah dan Afrika Utara, Philip Luther berkata, jika benar Zainab dibunuh semasa dalam tahanan, ia akan menjadi kes kematian dalam tahanan paling membimbangkan setakat ini.

Kes itu turut mendapat perhatian Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut menggelar insiden tersebut sebagai ‘mengerikan’ dan contoh keganasan pasukan keselamatan Syria yang dilihat mula menyasarkan ahli keluarga penunjuk perasaan.

Tindakan keganasan kerajaan Syria terhadap penentang antikerajaan, bermula pertengahan Mac lalu selepas kebangkitan penunjuk perasaan.

Laporan oleh PBB menunjukkan sekurang-kurangnya 2,700 terkorban sejak enam bulan lalu tetapi beberapa kumpulan aktivis pula mendakwa angka sebenar korban mencecah 3,000 orang.

Pihak berkuasa di bawah rejim Assad enggan mengulas mengenai kes Alhusni, sebaliknya berterusan menuduh kumpulan bersenjata sebagai dalang mencetuskan keganasan di rantau Arab sejak beberapa bulan lalu.

Selepas kejadian tersebut, kawasan kejiranan Bab Alsibaa, mengadakan demonstrasi untuk menegakkan keadilan terhadap kekejaman yang berlaku ke atas Zainab dan abangnya.

Kumpulan protes itu berikrar, kezaliman berlaku tidak langsung melunturkan semangat mereka sebaliknya mengukuhkan lagi keazaman untuk terus menentang rejim Assad.

sinar harian/-

2 ulasan:

Ameerah Abdul Azmil berkata...

Salam..
Mashaallah.. Apa yang dah terjadi pada saudara kita di sana? Ya Allah.. ampuni aku, kerana apa yg dapat aku sumbangkan hanyalah doa. Jikalau aku dapat pergi kesana dan berjuang bersama mereka..
Ingatlah, umat Islam sedang dizalimi, dan doa hamba Allah yg dizalimi sentiasa diterima Allah. Percayalah pada janji Allah. Islam pasti akan menang. Masalahnya, siapa yang akan memperjuangkan Islam? Hendak tunggu siapa lagi untuk membantu agama kita? Mungkinkah orang itu diri kita? Ya! Berpeganglah dan peliharalah pada Al-Quran dan As-Sunnah.. Itu sahaja lah senjata kita.
Bacalah do'a Qunut Nazilah, insyaAllah Allah akan memberi kemenangan pada umat Islam di sana. Salam ukhuwah dari Malaysia :)Wallahua'lam
Link Qunut Nazilah: http://www.muftipahang.gov.my/penerbitan/artikel/panduan-qunut-nazilah

Tanpa Nama berkata...

boleh kongsi benda ni?