26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
PERIKSA...anggota PGM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang memeriksa lori tangki yang dirampas.
PELABUHAN KLANG: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis, di sini, Jumaat lalu dengan nilai keseluruhan rampasan RM22,000.
Pegawai Memerintah PGM Wilayah 1, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat orang awam.
Menurutnya, serbuan pada jam 6.30 petang itu membabitkan tiga anggota daripada markas operasi PGM yang menyerbu premis di Jalan Emas, Jalan Tepi Sungai, di sini, apabila melihat sebuah lori tangki berwarna putih model Nissan yang mencurigakan.
“Operasi diketuai Inspektor Mohd Zamri Mohd Noor itu merampas sebuah lori tangki yang bermuatan diesel.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 5,500 liter minyak diesel bersubsidi yang sudah dipam masuk ke dalam muatan lori berkenaan,” katanya.
Menurutnya, premis yang diserbu itu dipercayai dijadikan stor bagi menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari tong simpanan diesel ke dalam muatan lori tangki.
Norzaid berkata, dalam serbuan itu pasukannya turut menahan pemandu lori berusia 43 tahun dan tiga lelaki yang bekerja sebagai penjaga stor di premis itu kerana gagal menunjukkan bukti berdokumen berhubung kegiatan yang dijalankan.
“Empat suspek itu ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen Jual Beli dan Menyimpan Minyak Diesel dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan