24 Oktober 2011

Tergamak tak tuntut jenazah ibu bapa

26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Sedih dan amat memilukan apabila ada segelintir anak enggan menuntut jenazah ibu bapa mereka di Pusat Penjagaan Harian kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya hanya datang meminta surat pengesahan kematian untuk menuntut harta pusaka.

Mereka hanya datang seminggu selepas jenazah dikebumikan semata-mata untuk mengambil surat pengesahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, berkata urusan pengebumian jenazah yang tidak dituntut terpaksa diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), tanpa kehadiran anak atau waris terdekat.

Beliau berkata, walaupun kes anak mengabaikan ibu bapa di negeri ini masih kecil, kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri termasuk JKM, JHEAT dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sedang menyiapkan kertas cadangan menganjurkan kursus kesedaran bagi membendung masalah itu.

“Kebanyakan penghuni terutama warga tua dihantar ke pusat penjagaan harian oleh anak mereka. Mereka bertanggungjawab untuk meluangkan masa menziarahi atau mengambil ibu atau bapa mereka walaupun sekali seminggu.

“Tetapi tanggungjawab itu diabaikan menyebabkan semua urusan termasuk membawa penghuni yang sakit ke hospital diuruskan petugas pusat itu. Paling menyedihkan apabila anak penghuni tidak datang melawat biarpun bapa atau ibu mereka dalam keadaan nazak,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri di sini, semalam.

Berita Harian

Tiada ulasan: