5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM – Corak pendidikan tidak konsisten dengan memperkenalkan pelbagai dasar baru setiap kali peralihan kuasa mengganggu kelancaran dasar pendidikan dan merugikan banyak pihak.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukti jelas kelemahan kerajaan memerintah dan perselisihan ini perlu ditangani segera.
“Kontroversi berpunca dasar pendidikan bercelaru dan tidak konsisten. Rakyat melihat, apabila Menteri Pelajaran bertukar, pelbagai dasar baru diperkenalkan dan menimbulkan masalah.
“Dasar yang berubah mencerminkan pemerintah yang menjalankan dasar tidak melakukan kajian mantap dan tersusun. Ini menyebabkan kerugian terhadap pembinaan generasi negara selaras keperluan dan memberi kesan kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab dan perlu berfikir panjang, sepatutnya perkara ini tidak berlaku.
“Masalah boleh diatasi sekiranya kerajaan sepakat dalam menetapkan keputusan supaya dapat memulihkan keadaan dan memberi keselesaan kepada pelajar meneruskan pembelajaran.
“Ibu bapa perlu mendapat keputusan jelas dan adil mengenai perkara ini,” katanya.
Terdahulu, pada Julai 2002, mesyuarat khas jemaah menteri ketika era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memegang tampuk pemerintahan, meluluskan dasar baru PPSMI dan ia diperkenalkan berperingkat mulai tahun satu bagi sekolah rendah, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah bagi sekolah menengah.
Pelaksanaan penuh PPSMI peringkat sekolah menengah bermula Januari 2007, sementara sekolah rendah pada Januari 2008.
Julai 2009, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPSMI dimansuhkan 2012. Bagaimanapun, polemik masih berterusan hingga hari ini.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan