02 November 2011

Penangan rompak RM20

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MELAKA - Hanya kerana merompak RM20 serta sebuah telefon bimbit daripada dua warga Myanmar, dua sahabat terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam tahun.

Kedua-dua mereka turut dikenakan hukuman tiga kali sebatan selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam.

Tertuduh, Hairol Abu Bakar, 25, dan Abdul Karim Musa, 33, mengaku bersalah bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas dua lelaki Myanmar, Tun Naing Win, 33, dengan mengambil wang tunai RM20 serta Thet Naing Soe, 26, dengan me­ngambil telefon bimbit Sony Ericsson.

Hairol dari Taman Tanjung Minyak Utama dan Abdul Karim dari Taman Rambai Jaya, melakukan kesalahan itu di Ayer Keroh Heights, kira-kira jam 10.15 pagi pada 18 Oktober 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 395 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Timbalan Pen­dakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin meminta mahkamah mengenakan hukuman berat demi kepentingan awam memandangkan jenayah samun dan merompak sering berlaku dan dilihat semakin menjadi-jadi.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dari tarikh ditangkap iaitu pada 20 Oktober 2011 serta tiga sebatan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: