02 November 2011

Ketua PKR Rantau Panjang bebas tuduhan rasuah

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Ketua PKR Rantau Panjang Mohammad Agos Mohd Noor dan seorang ibu tunggal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada tuduhan menerima rasuah RM50,000 berhubung pemberian anugerah 'Dato' Diraja' tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap setiap pertuduhan yang dihadapi Mohammad Agos dan Nor Azimah Jamaludin.

Mohammad Agos, 52, didakwa bersubahat dengan Nor Azimah untuk menerima suapan berupa sekeping cek Public Bank Bhd bernilai RM50,000 bertarikh 7 Disember 2010, daripada Izuldin Hani Mohd Noor di Restoran McDonald's, Lot 3644 dan 8081, Taman Melati di sini, pada 8 Disember tahun lalu.

Cek itu didakwa diberikan sebagai dorongan kepada tertuduh bagi mendapatkan anugerah Dato' Diraja daripada Persatuan Kerabat Diraja Duli Yang Maha Mulia Long Yunus Negeri Kelantan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohammad Agos turut didakwa mengikut pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Nor Azimah menipu Izuldin Hani dengan memperdayakan lelaki itu untuk mempercayai bahawa Nor Azimah boleh mendapatkan anugerah Dato' Diraja sedangkan ia tidak sah mengikut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.

Perbuatan itu mendorong Izuldin Hani menyerahkan sekeping cek Public Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan bernilai RM50,000 bertarikh 7 Disember 2010.

Nor Azimah pula didakwa menerima suapan itu mengikut Seksyen 16(a)(AA) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Nor Azimah didakwa menipu Izuldin Hani dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai dia (Nor Azimah) boleh mendapatkan anugerah itu padahal ia tidak sah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan.

Perbuatan tertuduh itu mendorong Izuldin Hani menyerahkan cek berkenaan.

Mohamad Agos dan Nor Azimah diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa.

Seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.

- Bernama

Tiada ulasan: