02 November 2011

Mesin hemodialisis tidak cukup

5 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Hospital Sungai Siput (HSS) memerlukan empat lagi tambahan mesin hemodialisis bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Sehingga kini hanya terdapat seramai 35 pesakit yang dapat menikmati kemudahan berkenaan, manakala 17 lagi pesakit diletakkan sebagai senarai menunggu kerana mesin disediakan tidak mencukupi.

Pengerusi Lembaga Pelawat HSS, Lau Fong Cheong berkata, bangunan yang menempatkan mesin-mesin berkenaan baru sahaja selesai melalui proses naik taraf dan pelebaran.

Menurutnya, terdapat lapan mesin hemodialisis ditempatkan di bangunan berkenaan dan kini mempunyai lebih ruang untuk tambahan.

“Dengan jumlah mesin sedia ada, ia memang tidak mencukupi untuk membantu dan memberi perkhidmatan kepada semua pesakit.

“Jadi kami ahli Lembaga Pelawat prihatin terhadap keperluan dan permintaan pesakit supaya dapat membantu mereka menggunakan mesin berkenaan.

“Kami berterima kasih kerana pelebaran bangunan telah dibuat dengan kos sebanyak RM200, 000 dan kini ia lebih selesa.

“Ruang yang dilebarkan mencukupi untuk menempatkan lagi empat mesin baru dan sehingga kini pesakit terdiri daripada pelbagai kaum termasuk orang asli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena lawatan Umno Bahagian Sungai Siput dan MIC Bahagian sungai siput menyampaikan sumbangan Deepavali, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah HSS, Dr. Mohd Zamri Md Ali dan Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, R Ganesan.

Menurut Fong Cheong, pesakit amat memerlukan mesin berkenaan kerana kos yang diperlukan jika mendapatkan rawatan daripada hospital luar adalah sangat tinggi berbanding di hospital kerajaan.

“Kerana mesin tidak mencukupi, pesakit yang diletakkan pada senarai menunggu terpaksa ke hospital swasta dan kosnya mencecah RM250 hingga RM350 untuk satu sesi, sedangkan di hospital kerajaan hanya memerlukan RM13 sahaja.

“Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM180 dan kita memberikan keutamaan kepada pesakit yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan HSS akan mengadakan kempen cara Hidup sihat pada 10 Disember depan bagi memberi pelbagai pendedahan kepada orang ramai dan pesakit mengenai pelbagai info kesihatan.

sinar harian/-