13 Januari 2012

Reka bentuk baru didedah

19 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Pelan dan reka bentuk surau baru di kompleks beli belah Aman Central bagi menggantikan Madrasah Salihiah dipersetujui Kerajaan Negeri Jumaat lalu, selepas beberapa pindaan dibuat.

Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, surau satu setengah tingkat dengan seni bina bercirikan Islamik moden ini menggunakan cermin separa lut sinar yang dibina atas keluasan 4,800 kaki persegi.

“Saya harap dengan adanya ilustrasi reka bentuk surau ini akan melenyapkan segala tohmahan terhadap Kerajaan Negeri kononnya masih belum mempunyai perancangan mengenai surau baru yang bakal dibina.

“Kedudukan surau ini seolah-olah berasingan walaupun ia adalah sebahagian daripada kompleks beli belah itu. Selain menampakkan ciri-ciri Islamik di bahagian hadapan dan tepi, surau ini dibina dengan kelebihannya iaitu boleh diakses dari luar tanpa perlu masuk ke dalam bangunan kompleks,” katanya.

Amiruddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berkata, sebuah kubah dan menara turut dibina pada sisi hadapan surau yang bercirikan Timur Tengah di bahagian luar.

Menurutnya, amat jelas imej surau itu adalah tempat beribadat umat Islam, dengan kapasiti yang mampu memuatkan 400 jemaah pada satu masa.

“Ia lebih menyerupai sebuah masjid berbanding peranannya sebagai surau. Surau ini termasuk tempat wuduk dibahagikan kepada dua bahagian berasingan untuk lelaki dan wanita, menjadikannya sebuah surau yang selesa untuk beribadah.

“Kesemua jemaah solat di tingkat bawah, manakala bahagian atas berkeluasan 1,600 kaki persegi menempatkan ruang bermesyuarat, aktiviti, stor termasuk pejabat pengurusan surau,” katanya.

Mengenai kerja merobohkan bangunan Plaza Tunku Yaacob terbengkalai lebih 30 tahun lalu, Amiruddin berkata, ia kini berjalan lancar dan dijangka selesai sebelum Tahun Baru Cina.

“Kesemua bangunan lama terbengkalai akan dirobohkan dahulu dan dijangka selesai sebelum perayaan, manakala bangunan perabot bersebelahan menyusul selepas itu. Bangunan Madrasah Salihiah paling akhir dirobohkan,” katanya.

Menurutnya, difahamkan pemaju akan memulakan kerja menanam cerucuk terlebih dahulu sebelum melakukan kerja merobohkan bangunan terakhir, yang dijangka dijalankan sekitar Mac.

sinar harian/-

Tiada ulasan: