13 Januari 2012

Sultan perkenan gugur Hasan Ali

19 Safar 1433H. [MOD] -

Sultan Selangor hari ini bersetuju untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali - yang telah dipecat sebagai ahli PAS Ahad lalu - daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap baginda di Istana Kayangan di Shah Alam pagi ini.

"Memandangkan Datuk Hasan bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa beliau tidak boleh lagi menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan telah menasihati DYMM Tuanku Sultan untuk membatalkan pelantikan beliau.

"DYMM Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan YB Datuk Dr Hasan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," kata menteri besar dalam satu sidang media selepas mengadap Sultan Selangor pagi tadi.

Pada masa yang sama, katanya, sultan telah menurunkan kuasanya kepada beliau untuk melantik ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru.

"Baginda Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak-pihak," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Khalid, pelantikan exco baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada hari Rabu minggu depan.

Tiada ulasan: