03 Februari 2012

Pembeli rumah kos rendah kena 'top-up' tidak benar

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Dakwaan bahawa pembeli projek perumahan kos rendah di Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam perlu menambah pembayaran atau top-up sehingga RM30,000 jika mahu rumah mereka disiapkan adalah tidak benar.

Demikian penegasan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar A. Samad.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga rumah kos rendah dengan sewenang-wenangnya walaupun ia melibatkan projek terbengkalai.

Jelasnya, harga rumah kos rendah dikawal oleh kerajaan negeri iaitu RM42,000 sebuah tetapi RM35,000 pula untuk peneroka bandar (setinggan) di mana subsidi RM7,000 dibayar oleh pemilik tanah tapak rumah peneroka bandar tersebut.

Katanya, pembeli-pembeli projek perumahan itu telah dijanjikan rumah sejak 1993 di zaman Barisan Nasional mentadbir Selangor.

Walau bagaimanapun, jelasnya lagi projek tersebut telah terbengkalai dan hanya dalam tahun 2010 ketika pentadbiran Pakatan Rakyat pemaju baru telah dengan secara rasmi mengambil alih.

“Pengambil alihan projek ini oleh pemaju baru dari pemaju lama adalah hasil rundingan di antara kedua-dua pihak.

“Kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana pemaju projek terbengkalai menerima pemaju baru,” ujarnya yang juga Adun Cempaka kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, di dalam pembentangan kepada Menteri Besar pada bulan Disember 2010, pemaju baru projek itu telah diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan sama sekali menaikkan harga rumah kos rendah.

Malah, katanya mereka telah diarah untuk menanggung subsidi RM7,000 bagi setiap peneroka bandar.

“Tetapi pemaju dibenarkan menukar 2 dari 6 blok rumah kos rendah yang belum dijual kepada rumah mampu milik supaya mereka dapat membiayai kos membaikpulih dan kos subsidi RM7,000 itu,” katanya.

Sejak itu, ujarnya kerajaan negeri telah memantau kemajuan projek itu dari masa ke semasa.

“Adalah diharapkan mereka yang mempolitikkan pelaksanaan projek ini agar berhenti dari melakukannya.

“Projek ini telah bertahun-tahun terbengkalai di bawah Barisan Nasional,” katanya.

Menurutnya, mereka telah gagal menyelesaikan masalah itu ketika Selangor di bawah pentadbiran mereka tetapi sekarang cuba berlagak seperti wira yang akan membantu rakyat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: