03 Februari 2012

Kes Sosilawati: Nama ahli perniagaan India dalam dokumen rampasan

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 3 Feb. - Beberapa dokumen tercatat nama Muthuraja a/l Allalkathan, ahli perniagaan India yang dilaporkan hilang di Malaysia sejak awal tahun 2010, adalah antara barang kes dirampas daripada pejabat guaman N. Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Dokumen berkenaan disahkan oleh saksi ke-97 pendakwaan, pegawai turus bahagian operasi khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pemangku ASP Koh Fei Cheow yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Antara barang kes dikemukakan di mahkamah dan dicam oleh Fei Cheow ialah dokumen mahkamah dan perjanjian jual beli antara Muthuraja dengan syarikat Southern Symphony Sdn. Bhd. dimiliki oleh Sosilawati serta surat kuasa kepada ahli perniagaan yang berasal dari Chennai itu.

Turut diserah kepada mahkamah dan dicamkan saksi tersebut ialah beberapa dokumen dengan tercatat nama Abdul Rahman Palil dan salinan cek yang dibayar kepada Pathma Nalli & Partners. - BERNAMA

Tiada ulasan: