03 Februari 2012

Lelaki maut ditembak 3 das

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MAK MANDIN - Seorang lelaki dipercayai pernah mengetuai sebuah kumpulan kongsi gelap sekitar daerah ini, mati ditembak dari jarak dekat dipercayai oleh pembunuh upahan berdekatan Rumah Pangsa Mak Mandin di sini, awal pagi semalam.

Mayat H’ng Kean Boon, 42, yang berasal dari Butterworth ditemui orang ramai, dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dengan tiga kesan tembakan di kepala, dada dan kaki bersebelahan kereta Nissan X Trial dinaikinya, di kawasan berkenaan, jam 6.30 pagi.

Difahamkan, mangsa dihalang tiga lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya yang mendiami salah sebuah bangunan di rumah pangsa berkenaan, jam 5.30 pagi, sebelum ditembak dari jarak dekat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, mangsa dikatakan diarah memberhentikan keretanya oleh tiga lelaki terbabit di kawasan itu semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Butterworth selepas menghantar teman wanitanya sebelum itu.

“Siasatan juga mendapati, mangsa dikatakan berbual dengan tiga lelaki yang menunggang motosikal masing-masing, sebelum ditembak oleh seorang lelaki terbabit menggunakan pistol automatik hingga mengakibatkan kematiannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengulas panjang mengenai kejadian kerana masih meneruskan siasatan dari berbagai sudut, tetapi tidak menolak kemungkinan dendam menjadi motif utama Kean Boon ditembak mati.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: