03 Februari 2012

Dua lagi mayat mangsa bot karam di Sedili ditemui

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Dua lagi mayat mangsa kejadian bot pancung karam di Teluk Semayong, Sedili Besar, dekat Kota Tinggi ditemui hari ini, menjadikan jumlah korban akibat tragedi itu 11 orang setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata satu daripada mayat itu ditemui di pantai Tuan Sheh, Sedili Kecil kira-kira pukul 7.40 pagi manakala satu lagi ditemui di pantai Teluk Semayong, dua jam kemudian.

"Kedua-dua mayat itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Mahazan berkata kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi, Rabu lepas, lapan lelaki rakyat asing mati lemas, lima hilang, manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam di kedudukan tujuh batu nautika dari perairan Teluk Semayong, Sedili Besar.

Kejadian berlaku ketika kesemua lelaki dipercayai rakyat Afghanistan dan Iraq berusia antara 20 dan 35 tahun itu cuba menyeludup keluar dari negara ini untuk ke negara jiran sebelum menuju ke negara ketiga.

Semalam, polis yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat menemui satu mayat mangsa bot karam itu di pantai Teluk Semayong.

- Bernama

Tiada ulasan: