03 Februari 2012

KL alami gangguan bekalan air

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di sekitar kawasan Kuala Lumpur berikutan paip jenis ‘Mild Steel’ (keluli lembut) bersaiz 600 milimeter (mm) di Jalan Duta berhampiran Stadium Tenis, Kuala Lumpur pecah, tengah hari semalam.

Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 12.52 tengah hari.

Menurutnya, disebabkan kejadian tersebut, Syabas mengambil langkah awal dengan melantik kontraktor untuk melakukan kerja pembaikan dan setakat laporan ini dikeluarkan, kerja penutupan injap sedang dilaksanakan.

“Dianggarkan kira-kira 13,500 akaun terlibat dan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan kejadian paip pecah ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kawasan yang dikenal pasti ialah sepanjang Jalan Duta yang merangkumi kawasan Duta Vista; Sri Murni Apartmen; Istana Negara Baru; Seluruh Taman Duta; Jalan Kota, Lorong Kota 1 – 14; Jalan Semantan, Persimpangan Duta hingga Persimpangan Jalan Dungun.

Katanya, bangunan kerajaan iaitu Arkib Negara; Stadium Hoki; Mahkamah Sivil; Kompleks Pentadbiran Kerajaan; Masjid Wilayah; Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Institut Kemajuan Islam Malaysia; Lembaga Peperiksaan; Pusat Perkembangan Kokurikulum; dan Mahkamah Tinggi Malaysia juga terlibat.

Gangguan turut berlaku di Jalan Ipoh Batu 4 hingga Batu 5 yang meliputi Jalan Cenderuh; Jalan Kuala Kangsar; Jalan Vethavanan; Jalan St Thomas; Jalan Khalsa; Taman Kok Lian; Taman Niaga Waris; Kem Batu Kentomen; Taman Impian; Taman Eastern; Taman Rainbow;
Taman Bamboo; Taman Kaya; Taman Segambut Indah; Kawasan Perindustrian Segambut; Kampung Seri Batu dan Kampung Batu.

Kawasan lain yang terlibat ialah Jalan Sentul yang merangkumi Taman Dato’ Senu; Taman Pelangi; Kampung Flat Mah; Kampung Chubadak Dalam; Kampung Bandar Dalam; Kampung Muthiah; Kampung Chubadak Tambahan; Sentul Jaya; Sentul Indah; Sentul Bahagia; Sentul Permai; Kampung Chempedak Hilir; Kampung Chubadak Jaya; Kampung Puah; Kampung Puah Bahagia dan Sentul Pasar.

Abdul Halem berkata, gangguan bekalan air juga berlaku di Jalan Kuching yang melibatkan kawasan Taman Sri Kuching dan Taman City.

Menurutnya, kerja baik pulih dijangka siap pada jam 12.30 tengah malam semalam dan bekalan air akan pulih sepenuhnya secara berperingkat ke semua kawasan terlibat selewat-lewatnya pada jam 3.30 pagi hari ini.

“Pihak Syabas menyediakan tiga lori tangki dalam keadaan tunggu sedia sekiranya diperlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pembaikan paip tersebut.

Katanya, mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun ingin mendapat maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual itu disarankan supaya menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252.

Sinar Harian

Tiada ulasan: