03 Februari 2012

Seorang wanita maut, 20 cedera kena sengat

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Seorang penoreh getah warga emas maut manakala 20 orang lagi cedera akibat disengat lebah dalam satu kejadian di Kampung Kandis, Gaal di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa, Esah Idris, 52, dalam perjalanan ke kelas mengaji al-Quran yang terletak di hadapan rumahnya.

Suami mangsa, Saidina Ali Mat, 57, berkata, semasa kejadian tersebut dia yang berada di dalam rumah terdengar jeritan isterinya meminta tolong sebelum keluar mendapatkan Esah yang dikerumuni lebah di kepalanya.

”Saya menjerit ke arah isteri agar patah balik ke arah rumah tetapi dia terus berjalan ke hadapan, mungkin pada masa itu dia sudah tidak sedar kerana ada banyak lebah mengerumuni mukanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis, di sini semalam.

Saidina Ali berkata, isterinya meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di pangkuannya.

Dia yang bekerja sebagai petani berkata, kejadian tersebut sangat mengejutkan mereka sekeluarga kerana ia berlaku dengan cepat.

Menurutnya, bagaimanapun dia dan tiga anaknya reda dengan pemergian tersebut walaupun masih berada dalam keadaan trauma.

”Saya juga turut disengat oleh lebah di bahagian badan dan kepala semasa cuba menyelamatkan isteri,” katanya turut menjadi mangsa sengatan lebah terbabit.

Beberapa penduduk kampung yang cuba membantu Esah dikatakan turut disengat serangga tersebut yang dikatakan berlaku akibat sarangnya diganggu burung yang ingin mendapatkan madu.

Malah, selepas beberapa jam kejadian tersebut, lebah terbabit dikatakan terus menyerang penduduk sekitarnya menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Kakak ipar mangsa, Nik Nah Mat, 65, berkata, sebelum kejadian Esah banyak mendiamkan diri dan tidak bergaul dengan jiran tetangga.

”Saya ada menegur kelakuan peliknya itu tetapi dia hanya tersenyum dan hanya mendiamkan diri sahaja sedangkan sebelum ini di tempat mengaji al-Quran dia sering beramah-mesra dengan kawan-kawan yang lain,” katanya.

Nik Nah berkata, semasa kejadian tersebut dia dan beberapa orang rakan serta jiran tetangga turut disengat lebah tersebut yang terbang merata-rata di kawasan kediaman mereka.

Dia berkata, bagaimanapun kecederaan mereka tidak seteruk yang dialami Esah kerana mereka semua sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, lebah yang terdapat disalah satu pokok di kawasan semak rumah Esah bertindak menyerang adik iparnya itu setelah sarangnya diganggu oleh burung-burung yang ingin mendapatkan madu.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Leftenan Muda Samsudin Jaafar berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mereka seramai empat anggota bertindak segera menghapuskan sarang lebah tersebut.

”Semasa operasi membanteras kami turut menjumpai dua sarang tebuan dan satu lagi sarang lebah di kawasan tidak jauh daripada tempat kejadian.

”Tahun ini sahaja dua mangsa maut akibat disengat lebah,” katanya.

Samsudin berkata, untuk bantuan segera JPAM orang ramai boleh hubungi 09-7855233, 09-7855235 dan 09-7861392.

Sinar Harian

Tiada ulasan: