03 Februari 2012

Lynas: Beri lesen bukti abai rintihan rakyat

10 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Feb: PAS kesal dengan tindakan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) memberikan lesen kendalian sementara (TOL) kepada Lynas Corporation untuk memproses nadir bumi di Kuantan, Pahang.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkefly Mohamad Omar berkata, pemberian lesen itu membuktikan AELB mengabaikan maklum balas rakyat yang tidak bersetuju dengan projek tersebut atas faktor keselamatan.

"PAS sangat kesal dengan pemberian lesen ini dalam pada isu rakyat yang menentang masih belum selesai.

"Pemberian lesen ini sangat tergesa-gesa tanpa mengambil kira suara rakyat yang amat risau kesihatan dan keselamatan mereka untuk jangka masa panjang," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Penasihat Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) itu juga tidak menolak ada agenda tersembunyi di sebalik kelulusan lesen tersebut.

"Dalam pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tahun lepas, setiausahanya, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria kata kilang Lynas ini perlu mematuhi 10 syarat laporan alam sekitar (EIA).

"EIA ini gagal dipatuhi tapi lesen telah dikeluarkan, seolah-olah ada agenda tersembunyi oleh pihak yang berkepentingan," katanya.

Semalam, Setiausaha Eksekutif AELB, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan mengumumkan pemberian lesen kepada Lynas Corporation dan berkata, baki nadir bumi yang diproses adalah di bawah tanggungjawab syarikat tersebut.

Sementara itu, Zulkifli mengulangi gesaan agar Abdul Aziz mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar New York Times mengenai artikelnya yang mengkritik pembinaan kilang yang disifatkan sangat berbahaya itu.

Abdul Aziz bagaimanapun menyanggah artikel tersebut.

"Dalam pertemuan dengan Datuk Abdul Aziz dahulu, saya ada menyuruh beliau menyaman New York Times jika artikelnya mengenai Lynas tidak benar tapi sekarang beliau tidak berbuat demikian. Kalau artikel itu salah, saman sahajalah, katanya.

Terbaru, New York Times menyebut terdapat kebimbangan keselamatan dan kesihatan berikutan tindakan kontraktor utama dari Belanda yang menarik diri dari projek itu.

Sehubungan itu, Badar akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan AELB meluluskan pemberian lesen tersebut selain meneruskan meneruskan mobilisasi ahli untuk turun ke Himpunan Hijau membantah Lynas di Kuantan, 26 Februari ini.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: