1 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU: Dayangku Intan (gambar) menyeru rakan artis terutama yang semakin meminati perjuangan Islam, membuat penghijrahan terbuka dengan tidak perlu bersembunyi di belakang lagi.
Katanya, zaman kini bukan lagi teguran atau kritikan yang perlu dibuat, sebaliknya ‘penghijrahan’ secara terbuka rakan artis demi untuk masa depan negara.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di sebuah restoran sempena program ceramah anjuran Majlis Tindakan Dun Jelawat, malam ini.
Beliau yang hadir bersama suami Rosman Tahil dan anggota keluarganya berkata sesuatu perubahan akan berlaku apabila berada di dalam perjuangan ini.
Katanya, perjuangan ini bukan hanya untuk dunia sahaja, sebaliknya akhirat sehinggakan akan merasai ketenangannya.
“Kalau sebagai artis kita hanya memperjuangkan diri kita, keluarga kita, namun dalam pentas politik kita memperjuangkan hak semua orang dan yang pasti ianya bukan hanya akan dihitung di dunia sahaja, sebaliknya akhirat juga.
“Apa lagi sebelum ini saya begitu mengagumi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, terutama sekali anak Intan yang keempat, minat sangat dengan tok guru sebab dia idola kami,” ujarnya.
Beliau yang pertama kali menyampaikan ceramahnya di Kelantan turut melahirkan berhasrat untuk berceramah dengan artis Wan Aishah Wan Ariffin, yang telah lama berhijrah dalam PAS.
Katanya, beliau begitu rindu untuk bersama Aishah untuk bersama-sama menggegarkan pentas politik demi untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat.
Dayang turut menambah, beliau semakin sibuk dengan jemputan ceramah sehingga hampir bulan Ramadan.
Selepas ini, beliau akan ke Terengganu, Perak, Johor, Melaka dan kemudiannya ke Negeri Sembilan.
Dayangku Intan yang membahasakan dirinya Intan menyampaikan ceramah bersama Adun Perupok, Datuk Omar Mohamed, Adun Jelawat, Abdul Aziz Kader, Anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan