21 Jun 2012

Prof Mohamad: Pandangan Tokoh Luar Tak Jamin Tepat

1 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 21 JUN: Tokoh asing yang menyentuh isu tempatan negara ini tidak menjamin pandangan itu boleh dijadikan panduan untuk membuat keputusan sekaligus menyelesaikan isu tersebut.

Demikian menurut pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar ketika dihubungi TVS hari ini.

Menurut Prof Mohamad, antaranya termasuklah pendapat yang dikeluarkan oleh ulama yang dijemput dalam satu seminar yang diadakan di ibu negara berhubung isu pilihan raya di musim haji.

“Setiap kali ada isu tercetus mereka ini suka mengheret tokoh luar, jemput mereka datang untuk berseminar, berforum dan kemudian media akan tanya pendapat.

“Perkara ini sudah menjadi fenomena yang lumrah sedang berlaku dikalangan parti pemerintah dan parti politik.

“Akhir-akhir ini kita melihat kehadiran ulama luar dari Masjidil Haram sebagai contoh.

‘Mereka ini datang sehari, dua sahaja. Adakah mereka didedahkan dengan sejarah, budaya, atau keadaan yang mereka tanggapi sebelum mereka memberikan hujah mereka,” kata Mohamad.

Selain itu, menurut Prof Mohamad, soalan petugas media yang kadang kala keluar dari realiti sebenar turut memburukkan lagi keadaan.

Malah menurut beliau, layanan istimewa yang diberikan kepada tokoh asing terlibat akan menyebabkan mereka merasa janggal untuk memberikan sebarang pandangan yang memberi kesan negatif kepada pihak tuan rumah.

“Mereka ini didatangkan khas sebagai tetamu khas yang dijamu khas, diletakkan dalam bilik khas, tentulah juga terpaksa memikirkan perasaan tuan rumah.

“Adakah mereka ini berhujah datang dari hati mereka dengan jujur atau sekadar memuaskan hati pihak tuan rumah?

“Saya juga sebut, kadang-kadang apabila mereka ini nyatakan sesuatu pandangan ikhlas mereka, adakah akan disiarkan media nanti?

“Jadi sebenarnya, saya tak kata pandangan mereka tak jujur atau salah, tetapi apa yang diterbitkan di media belum tentu mewakili pandangan sebenar mereka,” kata Mohamad.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour berkata pilihan raya di negara ini boleh diadakan di musim haji.

Mahmoud berkata demikian ketika berkunjung di negara ini untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 15 hingga 17 Jun baru-baru ini.

selangorku/-

Tiada ulasan: