1 Syaaban 1433H. [MOD] -
EMBOL menunjukkan lokasi Siah dibaham buaya (anak panah) sewaktu air pasang di tebing Sungai Anak, Saratok semalam.
SARATOK - Seorang suami sanggup menggadaikan nyawa sendiri dengan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan isterinya yang dibaham seekor buaya tembaga dengan ukur lilit perut sebesar tong dram di tebing Sungai Anak di sini petang kelmarin.
Namun, kudrat ketua rumah panjang, Embol Asum, 48, untuk menyelamatkan isterinya, Siah Munsong, 42, yang telah dikahwini sejak 30 tahun lalu jauh daripada mencukupi untuk menandingi reptilia itu yang dipanggil 'Bujang Sebelak', buaya ganas yang dipercayai telah membunuh sekurang-kurangnya dua orang sejak tahun 2010.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, Embol bersama lima penghuni rumah panjang yang turut berusaha membantunya sekadar dapat melihat buaya dianggarkan sepanjang lima meter itu mengheret Siah yang terkapai-kapai di dalam mulutnya ke tengah sungai itu yang juga anak Sungai Sebelak.
Mayat ibu kepada dua orang anak itu ditemui tersangkut dalam pukat kira-kira 200 meter dari tempat serangan pukul 9.30 malam kelmarin sebelum dibawa ke Hospital Saratok.
Embol berkata, sewaktu kejadian, Siah bersama beberapa penduduk lain sedang mandi-manda di tebing sungai yang pada waktu itu air paras pinggang sementara dia sendiri berada tidak jauh dari situ.
"Siah tiba-tiba menjerit minta tolong. Saya nampak seekor buaya besar yang buta mata kirinya membaham betis kanan Siah dan menariknya ke dalam air," cerita Embol kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.
1 ulasan:
Kepada pihak bertanggungjawab terutamanya pihak perhilitan, polis mengambil langkah yang sepatutnya bagi menangani serangan buaya di sungai sebelak. Jikalau langkah tidak diambil masalah serangan buaya terhadap penduduk di kawasan tersebut akan tidak berhenti. Setakat ini empat mangsa telah terbunuh akibat serangan buaya di sungai sebelak. Justeru itu, penduduk yang tinggal di tepi sungai hendaklah berjaga-jaga sekiranya hendak melakukan aktiviti di sungai sebelak. Mohon tindakan segera dilakukan oleh pihak berkuasa
Catat Ulasan