15 Syaaban 1433H. [MOD] -
SUBANG JAYA – Tidak serik walaupun pernah menghuni penjara Simpang Renggam dan baru dibebaskan April lalu, seorang penganggur mencari pasal dengan cuba membunuh seorang anggota polis di PJS 11, Bandar Sunway, awal pagi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2.05 pagi, Balai Polis Sunway menerima panggilan daripada orang awam, mendakwa terdengar bunyi cermin kenderaan dipecahkan.
Bertindak atas aduan, dua anggota polis peronda bergegas ke tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan cermin pecah di sebuah kereta jenis Toyota Camry. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, apabila anggota turun untuk melakukan pemeriksaan muncul seorang lelaki berdekatan kereta terbabit.
Katanya, disebabkan gagal melarikan diri, lelaki dipercayai memecahkan cermin kereta pada mulanya seolah-olah mahu menyerahkan diri.
Bagaimanapun, apabila dihampiri, suspek tiba-tiba bertindak ganas dan cuba merampas sepucuk pistol berada di pinggang anggota polis.
“Ketika bergelut, suspek terlepas satu das tembakan ke arah bawah dan terus mengacu pistol ke kepala anggota polis berkenaan.
“Pada masa sama, seorang lagi anggota cuba mematahkan serangan tetapi suspek menjadikannya pelindung. Suspek menghentak kepala anggota polis dengan pistol,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan