15 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUANTAN - Pasukan bola sepak Pahang menang bergaya ke atas juara bertahan, Terengganu selepas menundukkan pencabarnya, 3-0 dalam perlawanan pembuka tirai Kumpulan A sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Stadium Darul Makmur, di sini, semalam.
Penyerang Pahang, Mohd Shafie Zaharie muncul wira buat pasukan tuan rumah selepas menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-65 dan rembatan dari dalam kotak penalti pada minit ke-81 menewaskan penjaga gawang lawan, Muhammad Izzudiin Muhamat Hussin.
Manakala pada minit ke-72, kapten Pahang, Abdul Malik Mat Arif terus menceriakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol terakhir perlawanan sekali gus menggamatkan stadium tersebut.
Keputusan kekal sehingga pengadil membunyikan wisel penamat perlawanan. Namun perlawanan sedikit tercemar berikutan dua kad kuning serta kad merah dikenakan terhadap pemain Pahang, Mohamad Firdaus Anuar pada minit terakhir perlawanan.
Keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke stadium juga jelas menyuntik moral pemain dan membangkitkan kehangatan penyokong yang tidak putus-putus melaungkan sokongan terhadap pemain Tok Gajah.
Sementara itu, Ketua Jurulatih, Bahazenan Osman berkata, beliau gembira dengan kejayaan pasukan di gelanggang sendiri.
Menurutnya, pasukannya pernah menewaskan Terengganu dalam saingan Piala Presiden dalam peringkat kumpulan pada April lalu dan optimis dengan aksi pemain untuk mengulangi keputusan sama di saingan Sukma.
“Cuma nasihat saya, jangan melakukan kesilapan mudah dan leka dengan kejayaan ini. Mereka perlu terus mengekalkan kejayaan sama dalam aksi seterusnya. “Selain Terengganu, Sarawak juga antara pencabar dalam saingan kumpulan ini,” katanya.
Selain Malik dan Mohd Shafie, Mohd Hasmie Aziz adalah pemain dari Pahang yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini. Pada hari sama peringkat kumpulan, Sarawak menang tipis, 1-0 menentang Pulau Pinang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan Satu.
Untuk perlawanan seterusnya, Pahang bakal menentang Pulau Pinang pada 6 Julai ini di venue sama bermula jam 4.45 petang.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan