05 Julai 2012

Liga Super: Terengganu temui rentak kemenangan

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Selepas gagal mengutip mata maksimum dalam empat perlawanan terdahulu, skuad Penyu akhirnya mendapat tiga mata berharga di laman sendiri setelah berjaya menewaskan Skuad Warga Kota pada aksi Liga Super, malam kelmarin.

Begitupun, pengendalinya, Peter Butler mengharapkan anak buahnya dapat meneruskan rentak kemenangan menjelang baki tiga lagi perlawanan seterusnya memperbaiki kedudukan sebelum Liga Super melabuhkan tirainya.

Mengulas perlawanan malam tadi (kelmarin), Butler mengakui tahap keyakinan diri skuad bimbingannya masih perlu ditingkatkan dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan mereka (pemain) sepanjang 90 minit perlawanan.

“Jika kita imbas kembali empat perlawanan terakhir sebelum ini, terutamanya ketika menentang Kelantan, Lion XII dan Kedah, corak permainan mereka lebih baik berbanding Terengganu dan mereka berhak untuk mendapat tiga mata penuh.

“Bagaimanapun, pada perlawanan malam ini (kelmarin), saya lihat mereka bermain dengan bagus dan berjaya mendahului kedudukan di awal perlawanan seterusnya berusaha memburu tiga mata biarpun menerima tentangan sengit dari Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui sejurus selepas perlawanan tamat.


Pemain perlu kerja keras

DALAM pada itu, Butler berkata, pasukan Kuala Lumpur pastinya mempunyai rencana mereka sendiri ketika turun menentang pasukannya malam tadi (kelmarin) dan mereka (Kuala Lumpur) amat mengharapkan kemenangan pertama buat pasukan.

“Kita hormat saingan yang mereka berikan, tapi saya sudah ingatkan pemain agar mereka kerja keras dan mencipta banyak peluang dalam mengutip mata maksimum.

“Secara keseluruhannya corak permainan Terengganu sudah menunjukkan kemajuan selepas empat perlawanan yang diharungi, namun masih perlu dipertingkatkan lagi untuk kita terus mencapai kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Butler berkata, kemenangan malam tadi (kelmarin) cukup penting bagi skuad kendaliannya sebagai bekalan awal menjelang perlawanan menentang Sabah di Kota Kinabalu Sabtu depan.

“Kemenangan ini sedikit sebanyak menaikkan semangat pemain untuk terus bekerja keras dalam misi mengutip mata maksimum dan saya memuji penyerang pasukan, Francis Forkey Doe yang berjaya mencipta banyak peluang sepanjang perlawanan.

“Biarpun sebelum ini dia (Forkey Doe) mengundang pelbagai masalah kepada pasukan, namun saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan, begitu juga dengan Manaf yang sepatutnya direhatkan tetapi dia bersemangat untuk turut sama dalam pasukan. Semangat sebegini yang saya mahukan dalam pasukan,” katanya.


Corak permainan lebih agresif

PADA pertembungan malam kelmarin menyaksikan pasukan tuan rumah menemui sentuhan jaringan seawal minit ke-7 perlawanan menerusi penyerang import Liberia, namun cubaan di dalam kotak penalti gagal disempurnakan Francis Forkey Doe.

Begitupun, Skuad Warga Kota kendalian Mohd Razip Ismail tidak kurang aksinya apabila melancarkan serangan balas dan kedua-dua pasukan tampak agresif dalam memburu gol pembukaan.

Penyerang import sensasi tuan rumah, Forkey Doe sekali lagi tampil memanfaatkan peluang ekoran kekalutan di depan gawang pelawat dan sepakan derasnya berjaya menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Amirul pada minit ke-13 membawa Terengganu mendahului kedudukan, 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, pelawat bangkit melancarkan serangan balas untuk menyamakan kedudukan namun beberapa cubaan menarik berjaya dipatahkan benteng pertahanan tuan rumah yang dikawal rapi Mohd Faizal dan Hasmizan.

Pasukan Terengganu yang ghairah dalam menambah jaringan akhirnya terhukum apabila tindakan pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Muhaimin Omar yang menjatuh Muhd Afiq Azmi dalam kotak penalti memberi peluang kepada Kuala Lumpur mengikat kedudukan melalui sepakan penalti, Okine Emmanuel pada minit ke-30.

Bermula babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang lebih agresif dalam memburu gol, namun skuad kendalian, Peter Butler tampil dengan gaya permainan yang lebih kemas dan peluang untuk mendahului kedudukan setelah terikat 1-1 gagal disempurna Francis Forkey Doe dua minit selepas perlawanan bermula (minit 47).

Bagaimanapun enam minit sebelum perlawanan berakhir (minit 84) skuad Penyu akhirnya berjaya mendahului kedudukan seterusnya menyekat kemaraan Skuad Warga Kota menerusi Francis Forkey Doe yang bijak memperdayakan benteng pertahanan tuan rumah dan penjaga gol, Mohd Amirul melalui rembatan kencang menerjah jaring.

Sinar Harian

Tiada ulasan: