05 Julai 2012

Brazil kenakan cukai baru terhadap 3 barangan

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

Kerajaan Brazil menyemak semula cukai produk industri bagi motosikal, ketuhar gelombang mikro dan penyaman udara import, dengan menaikkan cukai 35 peratus mulai Oktober, satu langkah yang boleh dimanfaatkan pengeluar produk berkualiti tinggi Malaysia.

Walaupun mengalami kenaikan harga, adalah dijangka jualan produk yang diimport ini tidak akan berkurangan dengan ketara berikutan permintaan daripada golongan berpendapatan tinggi dan kumpulan mewah dengan kapasiti pembelian yang lebih tinggi.

Dalam satu kenyataan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, berikutan langkah itu, pengeluar Malaysia mungkin boleh mengambil kesempatan ke atas ketiga-tiga barangan ini dengan penawaran harga yang lebih tinggi, kualiti lebih baik dan produk eksklusif.

Pelabur-pelabur baru akan mempunyai peluang yang baik, mengambil kira prosedur dan tarif import baru untuk memastikan mereka mampu untuk mengambil kesempatan terhadap pelaburan mereka, demikian menurut agensi penggalakan perdagangan negara itu.

Kerajaan Brazil menaikkan cukai bagi ketiga-tiga barangan berkenaan berikutan permintaan pengeluar mereka untuk mengurangkan persaingan daripada produk asing terutamanya dari Asia serta Eropah dan kesan import ini menjejaskan keuntungan mereka.

Harga runcit barangan import itu dijangka meningkat antara 10 dan 15 peratus.

Pengumuman itu telah mendapat penentangan yang dijangkakan daripada pengimport Brazil kerana ini bermakna peningkatan dalam harga runcit barang-barang tersebut.

Pada masa ini, pengeksport utama motosikal ke Brazil adalah China dengan AS$62.580 juta (RM197.258 juta) pada tahun lepas, diikuti oleh Jepun, Jerman, Itali dan Austria.

Jumlah eksport global motosikal ke Brazil berjumlah AS$156.544 juta (RM493.449 juta) pada tahun yang sama.

Eksport ketuhar gelombang mikro berjumlah AS$64.693 juta (RM203.922 juta) di seluruh dunia pada 2011, dengan China menerajui pada AS$61.962 juta (RM195.313 juta). China juga merupakan pembekal terbesar penyaman udara di Brazil dengan AS$476.722 juta (RM1,502.70 juta) daripada jumlah global AS$705.311 juta (RM2,223.25 juta).

Pembekal lain adalah Amerika Syarikat AS$56.342 juta (RM177.630 juta), Jepun AS$35.310 juta (RM3.15282 juta), Itali AS$25.445 juta (RM80.2236 juta) dan Thailand AS$23.093 juta (RM3.15284 juta).

Sinar Harian

Tiada ulasan: