15 Syaaban 1433H. [MOD] -
TIKET perlawanan persahabatan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) menentang penyandang juara Piala FA, Kelantan di Stadium Shah Alam, 20 Julai nanti mula dijual hari ini di pekarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.
Penganjur dan pengarah bersama Bumibola Sports Sdn Bhd, Kevin Ramalingam berkata, tiket berharga RM33, RM53 dan RM73 bagi tempat terbuka mula dijual jam 12 tengah hari dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
"Selain jualan melalui kaunter tiket di KMK, kita turut membuka kaunter termasuk di Restoran MZ Kampung Baru, TRW Cafe Kota Bharu, Pejabat Kafa Kota Bharu dan di rangkaian terpilih Restoran Hassan Nasi Ayam serta secara online di RedTix.AirAsia.com.
"Bagi pembeli awal sebelum 15 Julai, mereka bakal memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah berbentuk jersi QPR dan The Red Warriors (TRW) ditandatangani, peluang bermalam di hotel penginapan yang sama dengan pemain kedua-dua pasukan dan juga naik taraf kepada tiket VIP," katanya.
Selain melihat aksi skuad bimbingan Mark Hughes menjalani persiapan pra-musim mereka, peminat bola sepak juga berpeluang bertemu barisan bintang QPR termasuk pemain pertahanan Ryan Nelsen (Blackburn), penyerang Andrew Johnson (Fulham) dan penjaga gol Robert Green (West Ham) dalam sesi bertemu peminat pada 19 Julai.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan