22 Oktober 2012

Berapa jumlah bonus penjawat awam 9 Ogos lalu

6 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [PAS-Bukit Gantang] minta Menteri Kewangan menyatakan penjawat awam telah diberi setengah bulan bonus atau minimum RM500 pada 9 Ogos yang lalu, berapakah jumlah keseluruhan pemberian bonus tersebut dan apakah juga dikenakan cukai ke atas imbuhan tersebut, jika ada berapakah pula anggaran perolehan Jabatan Hasil ke atas cukai tersebut dan bersediakah kerajaan mengecualikan cukai ke atas imbuhan bonus ini.

Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini sebagaimana di bawah.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah usaha Kerajaan untuk memastikan projek pembangunan Iskandar Malaysia tidak menjadi seperti projek Multimedia Super Corridor (MSC) yang kini hidup segan mati tak mahu dan sejauh manakah limpahan manfaat langsung projek Iskandar Malaysia itu kepada rakyat berpendapatan rendah.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Luar Negeri menyatakan rasional Malaysia menyokong tindakan OIC menggantung keahlian Syria dalam OIC ekoran krisis yang melanda negara tersebut.

Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan status Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir dan apakah insentif/geran yang diberikan untuk pembinaan dan memajukan Kawasan Bebas Cukai tersebut.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan menyatakan aduan-aduan kerugian yang dialami pengguna telefon bimbit akibat eksploitasi penipuan menerusi iklan-iklan yang memperdayakan dan tindakan yang diambil terhadap fenomena ini.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa ramai yang masih di dalam tahanan ISA dan apakah kesalahan mereka.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk menimbangkan kembali peruntukan 114-A dalam Akta Keterangan yang bercanggah dengan prinsip undangundang sejagat (Innocent Unless Proven Guilty) serta dikritik pelbagai pihak khasnya fraterniti undang-undang dalam dan luar negara termasuk Majlis Peguam Malaysia.

Dr. Che Rosli Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan jumlah geran-geran penyelidikan bagi tahun 2008 hingga kini yang disediakan Kerajaan, sejauh manakah kajian yang dibiayai memberi impak positif kepada negara dan dimanfaati oleh masyarakat dan pelbagai peringkat kaum.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah dengan wujudnya penerbangan laluan Kota Bharu - Singapura sekarang, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu boleh disifatkan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa.

harakah/-

Tiada ulasan: