22 Oktober 2012

Arab Saudi beri jaminan proses haji selamat

6 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Jemaah haji melakukan tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah pada 17 Oktober lalu. - REUTERS 
 
Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, semalam memberi jaminan keganasan yang berterusan di Syria tidak akan mengganggu perjalanan ibadat haji di Mekah.

Putera Ahmad Abdul Aziz memberi jaminan bahawa semua jemaah haji akan berpeluang menjalankan ibadat itu dengan tenang dan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau juga menolak kemungkinan tentera Syria menceroboh negara ini bertujuan menimbulkan kekacauan, ekoran Arab Saudi menyokong pemberontak di negara itu.

"Mereka yang datang melakukan ibadat haji adalah umat Islam dan agama ini tidak mengajar untuk menyakiti antara satu sama lain.

"Sesiapa yang menggunakan ibadat haji sebagai medium politik, mereka akan dihantar pulang, dan kerajaan Arab Saudi tidak memandang ringan sebarang tindakan untuk mencetuskan kekacauan," katanya.

Duta Arab Saudi ke Lebanon pada Rabu lalu berkata, negara ini bakal memberi visa kepada pelarian Syria di Lebanon, Turki dan Jordan yang ingin menunaikan ibadat haji musim ini.

Agensi berita SANA pada bulan lalu melaporkan, Arab Saudi melarang rakyat Syria memasuki negara ini untuk menunaikan haji musim ini, tetapi perkara itu dinafikan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Kerajaan (Arab Saudi) tidak pernah melarang mana-mana rakyat Syria memasuki negara ini untuk menunaikan haji, termasuk jemaah dari Iran yang dikatakan bakal mencetuskan kekacauan.
"Kerajaan Iran memberi jaminan mereka akan memastikan perjalanan ibadat haji musim ini akan berjalan lancar," ujar Ahmad.

Lebih 1.6 juta jemaah dari seluruh dunia kini berada di tanah suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu. - AFP
 
Utusan Melayu (M) Bhd /-

Tiada ulasan: