22 Oktober 2012

SPR cetus kebangkitan rakyat

6 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan punca utama berlakunya kebangkitan rakyat sehingga menyebabkan himpunan Bersih diadakan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Menurut beliau lagi, rakyat bangkit bersuara bukannya untuk menggulingkan kerajaan atau menimbulkan huru hara tetapi hanya menuntut satu pilihan raya yang adil dan telus.

"Bila rakyat hilang keyakinan atas ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihanraya inilah akibatnya.

"Rakyat tidak mahu membuat sebarang huru hara ataupun mengulingkan kerajaan dengan cara himpunan besar-besaran, yang mereka mahukan adalah sebuah pilihanraya yang adil dan telus," katanya kepada Harakahdaily sewaktu ditemui di Shah Alam Convention Centre (SACC), semalam.

Jelas beliau lagi, jika SPR melaksanakan apa yang dituntut serta berada pada kedudukan yang tidak menyebelahi mana-mana parti, pasti rakyat akan memberi sokongan kepada sistem demokrasi negara ini.

"Kita melihat bagaimana berlakunya Bersih 1.0 hingga Bersih 3.0, saya pasti jika pada tuntutan kali pertama itu dilaksanakan oleh SPR maka kita tidak akan melihat wujudnya Bersih 2.0 atau 3.0.

"Secara keseluruhan kita tidak boleh menyalahkan rakyat atas apa yang berlaku, penyebab utama adalah SPR kenapa mereka begitu sukar untuk menunaikan apa yang dituntut," sambung beliau lagi.

Beliau yang sebelum itu memberitahu tidak akan ada himpunan Bersih 4.0 namun beliau mendesak agar SPR membersihkan senarai daftar pemilih yang telah menimbulkan keraguan terutama pertambahan luar jangka di Negeri Selangor.

harakah/-

Tiada ulasan: