22 Oktober 2012

Kenapa tindakan ke atas Syria alasan simbolik?

6 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli kecewa dengan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bersama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke atas Syria atas alasan simbolik.

Beliau yang merujuk kepada jawapan dari Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot yang mengatakan dalam menyelesaikan isu konflik di Syria, Malaysia menyatakan pendirian melalui landasan OIC menyokong keputusan yang dibuat dengan mengantung keahlian Syria dalam OIC.

Malah menurut Richard lagi keputusan yang diambil itu merupakan satu tindakan simbolik untuk menghantar meseg yang jelas kepada Syria untuk menghentikan konflik tersebut.

"Ini satu pengakuan yang agak mengecewakan apabila Kerajaan Malaysia mengambil tindakan bersama OIC atas sebutan simbolik.
 "Kenapa perlu simbolik, OIC merupakan satu organisasi yang sah mempunyai ahli, peraturan dan peranan, mana boleh sebuah organisasi mengambil tindakan dan peranan simbolik sahaja ke atas Syria," tegas Dr Mohd Hatta sewaktu mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Beliau di dalam soalan lisan meminta Menteri Luar menyatakan rasional Malaysia menyokong tindakan OIC mengantungkan keahlian Syria dalam OIC ekoran krisis yang melanda negara tersebut.

Menurut beliau lagi, Malaysia dan OIC mewakili umat Islam mempunyai tanggungjawab dalam membantu dengan menemukan pihak-pihak yang bertelaggah di Syria.

"Kenapa kita serahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), saya tidak bertanya tentang PBB mahupun Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC), tetapi saya tanyakan peranan OIC.

"Kita menyerahkan isu ini kepada pihak lain, sedangkan kita sebagai organisasi yang mewakili umat Islam boleh memasuki negara tersebut untuk mencari penyelesaian namun sebaliknya berlaku," ucap beliau lagi.

Dr Mohd Hatta, tindakan menggantung keahlian Syria di dalam OIC telah menyukarkan Malaysia mahupun negara-negara di dalam OIC untuk berbincang dengan Syria dalam memberikan pandangan terhadap konflik tersebut.

"Saya rasa ini kelemahan yang ketara dan mengganggap sokongan Malaysia tidak mengambil kira masalah negara Islam yang lain.

"Kita ada peluang untuk menyelesaikan masalah dalam sebuah negara lain tetapi perkara tersebut telah diserahkan kepada orang lain," jelasnya lagi.

Beliau yang menegaskan tindakan yang diambil Malaysia dan OIC ini amat memalukan seluruh umat Islam di dunia dan menyarankan agar OIC dibubarkan kerana gagal melaksanakan peranan mereka dalam menyelesaikan konflik di negara-negara Islam.

Sidang Kemuncak Luar Biasa ke-4 OIC yang diadakan pada 14 dan 15 Ogos di kota suci Mekah telah dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

harakah/-

Tiada ulasan: