22 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
“Saat aku melihatnya, hilanglah duka dari seluruh jiwaku.”
Bait kata seperti ini pastinya datang dari lubuk hati yang dalam,
memberi pengiktirafan kepada insan yang dikagumi. Saiyidina Ali KW tidak
mungkin berkata begitu melainkan jika sekiranya insan disebut beliau
benar-benar seorang yang istimewa. Daripadanya Ali mendapat ketenangan,
ketenteraman, dokongan dan kebahagiaan.
Baginda Rasulullah SAW sendiri pernah mengungkapkan pengiktirafan terhadap Fatimah. Kata Baginda;
“Dia adalah ibu kepada ayahnya,”
kerana amat mengambil berat akan hal ayahandanya, amat mencontohi
ayahandanya dan menjadi ganti kepada bondanya. Kepada Saiyidatina
A‘isyah RA, Rasulullah SAW pernah berkata; “Wahai A‘isyah, jika
engkau tahu apa yang aku ketahui tentang Fatimah, nescaya engkau akan
mencintainya sebagaimana aku mencintainya.
Fatimah adalah darah
dagingku. Ia tumpah darahku. Barang siapa yang membencinya, maka ia
telah membenciku, dan barang siapa membahagiakannya, maka ia telah
membahagiakanku.” Bahkan jika dihitung terlalu banyak adanya akan
kata-kata yang menyanjung diri Fatimah. Terkadang dirinya dilihat iras
manusia agung, yakni ayahandanya sendiri. Saiyidatina A‘isyah RA
melukiskan Fatimah sebagai seorang yang paras dan tuturnya mengingatkan
kepada Nabi; “Aku tidak pernah menyaksikan ada orang selain
Fatimah, yang baik di waktu duduk maupun berdiri, lebih menyerupai
Rasulullah dalam hal ketenangannya, kebaikan perilakunya dan
pembicaraannya.”
Menyaksikan Kepayahan Dakwah
Fatimah dijadikan sandaran oleh
Musyrikin Quraisy untuk mengejek ayahandanya sebagai orang yang telah
terputus (keturunan) hanya kerana dia anak bongsu dan anak perempuan
sedangkan abang-abangnya pula telah meninggal dunia. Tidak seperti
kanak-kanak seusianya yang gemar bermain dan bersuka, Fatimah lebih
banyak menyertai ayahandanya. Bermakna dia membesar dengan menyaksikan
segala sikap jelik Musyrikin Quraisy menentang dakwah ayahandanya. Anak
kecil ini pernah menangis melihat ayahanda kesayangannya dipermainkan;
belakang Baginda diletakkan kotoran haiwan saat sedang sujud solat di
hadapan Ka’bah. Fatimahlah yang membersihkan sambil matanya bercucuran
dengan air mata.
Isteri Kebanggaan Suami
Jika para pengantin hari ini diserikan
dengan segala kemeriahan, perhiasan dan balasan hantaran, sesungguhnya
Fatimah saat mendirikan rumahtangga hanya memiliki kulit kambing sebagai
alas tidur di malam hari. Di siang hari, alas tidur itu pulalah yang
dijadikan alas unta. Selimut yang dimiliki pun tidak mampu menutupi
seluruh tubuhnya, ditarik ke atas terlihatlah kakinya, ditarik ke bawah
terlihatlah kepalanya.
Tetapi keutamaannya jodoh Fatimah adalah dengan pemuda pilihan Allah dan RasulNya. “Anakku,
aku telah menikahkanmu dengan laki-laki yang kepercayaannya lebih kuat
dan lebih tinggi daripada yang lainnya, dan seorang yang menonjol dalam
hal keperibadian dan kebijaksanaan.”
Ali pula saat usaha melangsungkan
pernikahan itu hanya memiliki sebuah pedang dan perisai. Hajat menjual
keduanya dihalang Rasulullah kerana ujar Baginda Islam memerlukan pedang
itu dan Baginda hanya mengizinkan Ali menjual perisainya.
Pun begitu, kecintaan antara suami isteri ini tiada tandingannya. Saiyidina Ali KW memanggil Fatimah; “Ya binta Rasulillah.” (Wahai puteri Rasulullah) manakala Fatimah pula memanggilnya dengan gelar; “Ya Amirul Mukminin.” (Wahai pemimpin kaum mukmin)
Rasulullah SAW pernah menukilkan nasihat yang penting untuk seluruh kaum isteri yang disampaikannya melalui Fatimah RA;
“Wahai Fatimah, perempuan mana yang melayani suaminya dalam sehari
semalam dengan baik hati dan ikhlas serta niat yang benar maka Allah SWT
akan mengampuni semua dosa-dosanya dan Allah SWT akan memakaikannya
sepersalinan pakaian yang hijau dan dicatatkan untuknya dari setiap
helai bulu dan rambut yang ada pada tubuhnya seribu kebaikan dan
dikurniakan Allah untuknya seribu pahala haji dan umrah.
Wahai Fatimah,
perempuan mana yang tersenyum dihadapan suaminya maka Allah SWT akan
memandangnya dengan pandangan rahmat. Wahai Fatimah perempuan mana yang
menghamparkan hamparan atau tempat untuk berbaring atau menata rumah
untuk suaminya dengan baik hati maka berserulah untuknya penyeru dari
langit (malaikat). Teruskanlah amalmu maka Allah SWT telah mengampunimu
akan sesuatu yang telah lalu dari dosamu dan sesuatu yang akan datang.”
“Wahai Fatimah, perempuan mana yang
meminyakkan rambut suaminya, janggutnya dan memotongkan kumisnya serta
menggunting kukunya maka Allah SWT akan memberinya minuman dari
sungai-sungai syurga dan Allah SWT akan meringankan sakaratulmautnya,
dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman
syurga serta Allah SWT akan menyelamatkannya dari api neraka dan
selamatlah ia melintas di atas titian Sirat.”
“Wahai Fatimah, yang lebih utama
dari itu semua adalah keredhaan suami terhadap isterinya. Jikalau
suamimu tidak redha denganmu tidaklah akan aku doakan kamu. Tidaklah
engkau ketahui wahai Fatimah bahwa redha suami itu daripada Allah SWT
dan kemarahannya itu dari kemarahan Allah SWT.”
Kerana keperibadiannya itulah, Fatimah meninggalkan nostalgia manis buat suaminya Saiyidina Ali KW: “Demi
Tuhan, hingga akhir hayatnya, tidak pernah aku merasa kecil hati dengan
perilakunya atau memaksanya. Begitu juga tidak pernah dia merasa marah
terhadapku atau tidak mentaatiku.”
Didikan Agung Suri Rumah
Rutin hariannya menggiling gandum dan
mengangkut air hingga terlihat kesan melecet pada tangannya dan berbekas
pada dadanya. Dia juga menyapu rumah hingga berdebu baju dan menyalakan
api di dapur hingga mengotori dirinya. Ternyata setiap hari yang
dilihat padanya adalah kepayahan. Pernah Fatimah mendatangi Rasulullah
memintakan pembantu untuknya. "Ucapkanlah: "Ya Allah, Tuhan pemilik
bumi dan Arsy yang agung. Ya Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu yang
menurunkan Taurat, Injil dan Furqan, yang membelah biji dan benih. Aku
berlindung kepadaMu dari kejahatan segala sesuatu yang Engkau kuasai
nyawanya. Engkaulah awal dan tiada sesuatu sebelumMu. Engkaulah yang
akhir dan tiada sesuatu di atasMu. Engkaulah yang batin dan tiada
sesuatu di bawahMu. Lunaskanlah hutangku dan cukupkan aku dari
kekurangan.” Demikianlah Rasulullah SAW mendidik Fatimah dan Fatimah redha bahawa itulah tarbiyyah untuk dirinya.
Saiyidina Ali KW juga pernah mengadukan
kepayahan Fatimah dalam menjalankan kerja sehariannya. Namun Rasulullah
SAW tetap tidak pernah memanjakan puteri bongsunya itu dalam menguruskan
hal keduniaan. “Mahukan kamu aku nyatakan suatu perkara yang lebih
baik daripada apa yang kamu minta? (Iaitu) apabila kamu selesai solat,
ucapkanlah ‘Subhanallah’ 10 kali, ‘Alhamdulillah’ 10 kali dan ‘Allahu
Akbar’ 10 kali. Apabila hendak masuk ke tempat tidurmu, maka ucapkanlah
‘Subhanallah’ 33 kali, ‘Alhamdulillah’ 33 kali dan ‘Allahu Akbar’ 33
kali. Ini adalah lebih baik daripada yang kamu pohon.”
Dalam hal menguruskan rumahtangga Rasulullah SAW juga pernah mewasiatkan nasihat kepada Fatimah; “Wahai
Fatimah, perempuan mana yang berkeringat ketika ia menggiling gandum
untuk suaminya maka Allah SWT menjadikan antara dirinya dan neraka tujuh
buah parit.”
Ibu Mithali
Jika ummah ini mengagumi Saiyidina
Hassan RA dan Saiyidina Hussin RA, Fatimahlah ibu mereka. Yang telah
melahir, mendidik dan membesarkan mereka menjadi mujahid ummah. Menjadi
insan kebanggaan Rasulullah, kerana anak-anak itu telah dididik Fatimah
mencontohi keperibadian datuk mereka. Ke mana sahaja Baginda pergi,
Baginda selalu membawa mereka bersama dan cucunya itu diperkenalkan
sebagai buah hatinya di dunia.
Nasihat Rasulullah menjadi pegangan Fatimah dalam kesabaran menguruskan anak; “Wahai
Fatimah, apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya
maka beristighfarlah para malaikat untuknya dan Allah SWT akan
mencatatkan baginya tiap-tiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan
darinya seribu kejahatan. Apabila ia mulai sakit hendak melahirkan maka
Allah SWT mencatatkan untuknya pahala orang-orang yang berjihad pada
jalan Allah yakni berperang sabil. Apabila ia melahirkan anak maka
keluarlah ia dari dosa-dosanya seperti keadaannya pada hari ibunya
melahirkannya dan apabila ia meninggal tiadalah ia meninggalkan dunia
ini dalam keadaan berdosa sedikitpun, dan akan didapatinya kuburnya
menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga, dan Allah SWT akan
kurniakannya pahala seribu haji dan seribu umrah serta beristighfarlah
untuknya seribu malaikat hingga hari kiamat.”
“Wahai Fatimah, perempuan mana yang
meminyaki rambut anak-anaknya dan menyisir rambut mereka dan mencuci
pakaian mereka maka Allah SWT akan mencatatkan baginya ganjaran pahala
orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi
pakaian kepada seribu orang yang tidak berpakaian.”
Srikandi Ummah
Perasaannya terhadap ummah ini saling
tak tumpah seperti ayahandanya. Prinsipnya rela bersusah untuk kemudahan
orang lain. Setiap pengemis mahupun tetamu yang datang pasti melangkah
keluar dari pintunya dengan senang hati. Sedangkan dia dan keluarganya
sendiri hidup dalam serba tidak memiliki, hatta terkadang berhari-hari
menahan dari makanan semata-mata memberi makan kepada orang lain. Pernah
digadaikan kain tudungnya untuk mendapatkan sedikit jagung lalu
dibuatnya roti untuk makanan seorang Yahudi sedangkan dia dan
keluarganya langsung tidak menyentuh roti itu bahkan tidak menjamah
makanan sejak beberapa hari. Dari kepemurahannya menyebabkan Yahudi ini
menyatakan keIslamannya.
Dirinya berpegang kepada nasihat ayahanda; “Wahai
Fatimah, perempuan mana yang menghalangi hajat tetangga-tetangganya
maka Allah SWT akan menghalanginya dari meminum air telaga Kautshar pada
hari kiamat.”
Dalam usaha mempertahankan Islam, di
tengah-tengah medan peperangan yang serba menggerunkan, Fatimah adalah
antara srikandi yang bergerak dicelah-celah kekalutan pukulan tombak dan
tikaman mata pedang serta hujan anak panah. Ia turut serta membantu,
menyediakan bekal dan merawat tentera yang cedera. Sedangkan ramai
wanita hari ini hendaknya bersenang umpama puteri di singgahsana nan
mewah.
Bahkan Fatimah jauh berbeza dari
wanita-wanita yang rata-ratanya cenderung kepada kecantikan duniawi dan
perhiasan. Tidak ada padanya sedikit pun kerana berpegang kepada nasihat
ayahandanya bahawa semua itu di dunia menjadi simbol keangkuhan dan di
akhirat menjadi fitnah dan bahan bakar api neraka.
Dunianya Mendampingi Akhirat
Antara lain gelarannya ialah al-Batuul,
iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingannya
dalam hal keutamaan, ilmu, akhlak, adab, hasab dan nasab. Mengenai
ubudiyyahnya, Hassan bin Ali RA menuturkan; “Ibuku memenuhi malamnya dengan doa dan munajat hanya kerana umat Muhammad.” Dalam katanya yang lain;
“Aku belum pernah melihat seorang wanita yang lebih alim daripada
ibuku. Dia selalu melakukan solat dengan begitu lama hingga kakinya
bengkak.”
Sikap Fatimah terhadap umat ini juga tergambar dari kata-kata Hassan RA; “Aku
melihat ibuku, Fatimah berdiri solat pada malam Jumaat. Beliau
meneruskan solatnya dengan rukuk dan sujud hingga subuh. Aku mendengar
beliau berdoa untuk kaum mukminin dan mukminah dengan menyebut nama-nama
mereka. Beliau berdoa untuk mereka tetapi tidak berdoa untuk dirinya
sendiri.” Hassan pernah bertanya akan hal itu, jawab Fatimah; “Anakku, (berdoa) untuk jiran-jiranmu diutamakan dan kemudian barulah dirimu.”
Sebaik-baik Teladan
Itulah Fatimah; payah hidupnya disulami
dengan zikir, perit laparnya diisi dengan sujud. Dia muslimah yang akan
terus menjadi nostalgia segar seluruh ummah. Akan ada sentiasa mencari
dan akan ada yang sentiasa meneladani halwa kehidupannya. Fatimah adalah
contoh sebaik-baik isteri dan suaminya adalah contoh sebaik-baik suami
seperti yang telah disabdakan Baginda; “Wahai Ali, sebaik-baik isteri adalah isterimu.” “Wahai Fatimah, sebaik-baik suami adalah suamimu.”
Umpama sebuah pohon, Fatimah adalah pokok yang baik; akarnya menghunjam
kukuh ke bumi, cabangnya menjulang tinggi ke langit; membesar dengan
pancaran wahyu dan siraman sunnah.
Dia mencintai ayahandanya melebihi
cintanya kepada sesiapa jua. Dia menghayati dakwah ayahandanya, menemani
dan menghiburkan Baginda sepanjang langkah perjuangan, kerana itu manis
sekali gelar Ummu Abiha (Ibu kepada ayahnya) itu untuknya. Dia
juga yang pertama mengalunkan kesedihan mendapat tahu tanda kewafatan
Baginda dan bergembira menjadi insan pertama yang akan menyusul Baginda.
Saat kematian menghampiri Baginda, Fatimahlah yang membacakan
kalimah-kalimah suci al-Qur’an hingga Baginda terbuai dalam kekusyukan.
Pemergian Rasulullah menjadi kesedihan yang tidak kepalang terhadap
dirinya. Jiwanya sering dilanda kehibaan, dibaluti kesedihan dan
kerinduan yang mencengkam hinggalah dia juga turut menyusul
kemudiaannya. Tatkala selesai jasadnya disemadikan, Ali KW meluahkan
rasa cinta seorang suami; “Salam sejahtera bagimu duhai Rasulullah…
dariku dan dari puterimu, yang kini berada di sampingmu dan yang paling
cepat datang menemuimu. Duhai Rasulullah! Telah berkurang kesabaranku
atas pemergian puterimu, dan telah berkurang pula kekuatanku… Puterimu
akan mengadukan kepadamu mengenai umatmu yang telah menghancurkan
hidupnya. Pertanyaan yang meliputinya dan keadaan yang akan menjawab.
Salam sejahtera untuk kalian berdua!”
Fatimah akan terus menjadi lambang
seorang muslimah yang menakjubkan dan setiap saat ummah ini meneliti
hidupnya, maka “hilanglah duka dari seluruh jiwa”. Bonda Fatimah, kami
menyanjungimu……
Saiyidatul Nisa’il-‘Alamin
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan