22 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Dewan Pemuda PAS Malaysia sedar begitu banyak pihak sudahpun menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing berkenaan belanjawan 2013 ini.
Dewan Pemuda PAS Malaysia sedar begitu banyak pihak sudahpun menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing berkenaan belanjawan 2013 ini.
Bagaimanapun, izinkan kami untuk menyampaikan pandangan mewakili
golongan berpendapatan sederhana, 'middle income group' dan penjawat
awam, yang sebahagiannya adalah golongan yang membayar cukai, dan berhak
mengetahui serta memberi pandangan bagaimana duit 'kami' sepatutnya
dibelanjakan.
Di bawah
tajuk meringankan kos sara hidup, Belanjawan 2013 menawarkan diskaun 50%
kadar tambang bagi pengguna komuter berpendapatan kurang RM3000. Malang
bagi kerajaan Barisan Nasional ini, masih tidak memahami apa yang
diperlukan rakyat. Apa yang lebih penting,
sebenarnya adalah untuk
meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam. Tumpuan sepatutnya
diberikan kepada pertambahan jumlah koc, dan meningkatkan kekerapan
tren. Kesesakan di dalam tren, serta masa menunggu yang lama sekian lama
menghantui warga kota yang menggunakan perkhidmatan komuter ini.
Penurunan harga tiket, (walaupun dapat mengurangkan beban kumpulan
pengguna terbabit) tidak bersifat menyeluruh, dan dikhuatiri hanya akan
menambah kesesakan sekiranya tidak disusuli dengan peningkatan
prasarana.
Begitu juga dengan pemberian BR1M yang kedua. Benar, wang itu memang diperlukan rakyat yang kurang berkemampuan. Bagaimanapun, apakah pemberian yang bersifat 'one-off' ini dapat membantu mereka mengubah taraf hidup? Nampaknya belanjawan kali ini masih memberikan ‘ikan’ kepada rakyat, dan bukannya ‘joran’.
Satu lagi kelemahan yang langsung tidak disentuh di dalam belanjawan kali ini adalah berkenaan skim perjawatan dan pelarasan gaji yang tidak seimbang di dalam sektor pekhidmatan utama. Di dalam perkhidmatan kesihatan sebagai contoh, isu 'brain-drain' merupakan isu yang serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik,
boleh mengakibatkan kualiti penyampaian sistem kesihatan di negara ini semakin buruk. Kian hari semakin ramai pakar perubatan yang meletakkan jawatan di universiti dan hospital kerajaan untuk berkhidmat di swasta. Masalah ini menjadi semakin buruk apabila jumlah pegawai perubatan yang menyertai universiti dan fakulti perubatan sebagai pensyarah semakin berkurang, disebabkan skim gaji yang lebih baik di kementerian kesihatan. Akibat daripada ini, dikhuatiri kualiti pengajaran bakal-bakal doktor semakin menurun. Akhirnya yang akan menerima kesan adalah rakyat terbanyak yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan.
Klinik 1Malaysia hanya merupakan satu lagi gimik politik dan bersifat retorik semata-mata. Klinik-Klinik ini tidak mempunyai doktor dan rawatannya terhad berbanding klinik-klinik kesihatan. Malah, ada di antaranya yang terletak sangat berhampiran dengan klinik kerajaan sedia ada. Siapakah yang beroleh manfaat dari Klinik 1Malaysia ini? Tindakan menambahkan jumlah Klinik 1Malaysia tidak mungkin mencapai matlamat kesihatan yang terbaik untuk rakyat. Sepatutnya, jumlah peruntukan dimaksimumkan untuk penambahbaikan klinik-klinik kerajaan yang sedia ada, serta memberikan tumpuan lebih kepada pembangunan modal insan.
Pemberian rebat RM 200 untuk pembelian telefon pintar sekadar mengabsahkan tuduhan bahawa Belanjawan 2013 ini tidak lebih dari sekadar gula-gula politik Barisan Nasional. Sekiranya manfaat dari telefon pintar ini begitu tinggi, mengapa ia dihadkan kepada mereka yang berusia 21-30 tahun sahaja? Apakah ini boleh dikaitkan dengan demografi pengundi muda yang baru berdaftar sebagai pengundi? Mengapakah sehingga RM300 juta diperuntukkan untuk tujuan ini, berbanding hanya RM100 juta untuk menambahbaik klinik kesihatan yang boleh dimanfaatkan rakyat keseluruhannya?
Skim rumah pertamaku yang dinaikkan had pendapatan individu juga dilihat tidak banyak membantu. Ia mungkin berguna untuk menyelesaikan masalah mereka yang tiada tabungan untuk membayar deposit. Tetapi ia tidak melihat kepada masalah rumah yang terlalu mahal dan ketidakmampuan rakyat untuk membayar pembiayaan dan ansuran bulanan rumah tersebut. Cadangan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Perbadanan Perumahan Negara dilihat relevan, dengan sasaran untuk menyediakan rumah mampu milik secara besar-besaran.
Secara kasar, LPPM melihat belanjawan ini merupakan satu lagi belanjawan 'gula-gula', dikarang dan dibentang semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik parti memerintah tanpa memikirkan masa hadapan negara. Barisan Nasional semakin tertekan, di dalam suasana di mana sokongan terhadap Barisan Nasional dilihat semakin merudum, dan ini merupakan belanjawan terakhir sebelum parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum ke-13. Belanjawan 2013 masih kekal dengan sikap boros dan berbelanja melebihi keperluan.
Tidak ada penyelesaian jangka panjang bagaimana untuk mengatasi lambakan hutang negara yang semakin meruncing. Tidak ada perancangan yang jelas dan konkrit bagaimana untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara. Tidak ada kaedah tertentu bagi mengatasi ketirisan dan pembaziran dana negara. Tidak ada penumpuan diberikan kepada meningkatkan taraf hidup rakyat bagi tempoh yang panjang dan mengurangkan kos sara hidup. Juga tidak ada langsung disebut langkah-langkah persediaan di dalam bidang automotif, sedangkan pelan liberalisasi industry automotif dan pemansuhan AP kereta dijanjikan untuk dilaksanakan menjelang 2015.
Lihat pula Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat. Ia jauh lebih relevan, menepati kehendak rakyat dan berpijak di bumi nyata. Teras-teras utama untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara, reformasi dan ketelusan Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), menurunkan harga kereta, hasil minyak untuk negeri, mengangkat martabat wanita, dan reformasi membanteras jenayah, semuanya memberikan keyakinan kepada rakyat berkenaan kebolehan Pakatan Rakyat untuk memerintah.
Sesungguhnya bajet 2013 oleh kerajaan Barisan Nasional tidak menepati seperti yang dilaksanakan.
DR HJ GHAZALI HASBULLAH--
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan