19 November 2012

Jatuh tersungkur kerana wanita

David Petreaus5 Muharram 1433H. [MOD] -

Petreaus meletak jawatan pada 9 November lalu.- Foro Newscom
 
Skandal terbaru di Amerika Syarikat (AS) seakan serupa dengan jalan cerita dalam filem perisikan yang sering dihasilkan industri hiburan negara itu.

Hanya beberapa hari selepas Presiden Barack Obama mengekalkan kuasa untuk satu penggal lagi selepas memenangi pilihan raya umum AS, negara itu dikejutkan dengan peletakan jawatan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jeneral  David Petreaus.

Petreaus, 60, bukan calang-calang orangnya. Mempunyai karier selama 37 tahun dalam tentera AS dan menjadi pemimpin tertinggi tentera, Petreaus adalah komander yang bertanggungjawab mengendalikan perang di Afghanistan.

Kehebatannya dalam aspek ketenteraan dan perisikan tidak boleh dinafikan sehingga Petreaus dilantik Obama menjadi ketua CIA, agensi perisikan paling terkenal di dunia.

Dengan latar belakang sehebat itu, Petreaus sepatutnya lebih tahu wanita adalah senjata paling berbahaya yang boleh menjatuhkan reputasi seseorang.

Tetapi siapa sangka, ketua perisik itu sendiri menjunamkan dirinya ke kancah kemusnahan hanya kerana perhatian yang diberikan oleh seorang wanita.

Petreaus meletak jawatan pada 9 November lalu selepas mengakui mempunyai hubungan sulit dengan penulis biografinya, Paula Broadwell, 40.

Broadwell yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak menghabiskan banyak masa di Afghanistan pada 2010 ketika Petraeus berkhidmat di negara itu sebagai komander tertinggi tentera AS.

Wanita itu diberi kebenaran menulis buku biografi Petraeus bertajuk "All In" yang dianggap pengkritik sebagai buku yang hanya penuh dengan pujian.

Hubungan sulit itu diketahui selepas Broadwell menghantar emel mengugut seorang kenalan Petraeus, Jill Kelley yang dianggap cuba menarik perhatian komander itu, menyebabkan Kelley berasa terancam mengadu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

“Selepas berkahwin selama 37 tahun, saya membuat pertimbangan sangat buruk dengan melibatkan diri dalam hubungan sulit.
“Kelakuan seperti ini tidak boleh diterima, sebagai seorang suami dan sebagai pemimpin organisasi seperti ini.

Hari ini, Presiden (Obama) menerima peletakan jawatan saya,” kata Petreaus dalam suratnya kepada semua pegawai CIA bertarikh 9 November lalu.

Dengan pengakuan dan peletakan jawatan itu, dia menyertai senarai panjang pemimpin AS, dari presiden kepada wakil rakyat, yang menyaksikan karier mereka musnah kerana seks.

Skandal seks pemimpin
Emel cemburu dari Broadwell itu bukan hanya menjatuhkan Petraeus tetapi turut melibatkan seorang lagi pemimpin tinggi tentera AS.

Minggu lalu, Pentagon mengumumkan Jeneral John Allen, 58, yang sepatutnya dilantik sebagai Komander Tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Eropah, sedang disiasat atas dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan Kelley.

Jaringan skandal itu kelihatan semakin rumit dan menyamai twist dalam filem Hollywood.

Namun sejak dahulu lagi, politik dan pentadbiran AS dicemari banyak skandal seks, termasuk melibatkan presiden dan wakil rakyat.

Antara yang paling awal diperkatakan adalah skandal bekas Presiden John F Kennedy dengan ramai wanita, termasuk pelakon terkenal tahun 1960-an, Marilyn Monroe.

Walaupun Kennedy tidak pernah mengakui sifat kaki perempuannya, buku tulisan seorang bekas pekerja Rumah Putih, Mimi Alford yang diterbitkan Februari lalu memberi jawapan kepada soalan itu.
Di dalam buku Once Upon a Secret: My Affair With President John F. Kennedy and Its Aftermath, Alford menceritakan hubungan sulit selama 18 bulan antara dia dengan Kennedy pada 1962, ketika wanita itu berumur 19 tahun.

Kemudian siapa yang tidak ingat dengan Monica Lewinsky, pekerja sementara di Rumah Putih yang mendedahkan dia mempunyai hubungan sulit dengan Presiden AS, Bill Clinton pada 1998?
Clinton mengadakan sidang akhbar khas dan menegaskan: “Saya tidak pernah mempunyai hubungan seksual dengan wanita itu, Cik Lewinsky”.

Namun Clinton kemudian disiasat atas dakwaan menipu di bawah sumpah sebagai presiden apabila beliau menafikan hubungan dengan Lewinsky yang berumur 22 tahun pada waktu itu.

Clinton akhirnya mengaku dalam keterangan kepada Senat AS, diikuti dengan pengumuman terbuka di televisyen bahawa beliau mempunyai hubungan seksual dengan Lewinsky.

Beliau bagaimanapun terselamat apabila Senat AS enggan memecatnya dan terus berkhidmat sebagai presiden sehingga akhir penggal pemerintahannya.

John Edwards, bekas Senator yang pernah dua kali menjadi calon presiden dalam pilihan raya AS pula mengaku mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita pada 2008 sehingga menghasilkan seorang anak.
Skandal membabitkan pemimpin di AS semakin pelik apabila seorang anggota Kongres, Anthony Weiner mengaku menggunakan akaun sosial Twitter untuk menghantar pautan gambar bogelnya kepada seorang wanita berumur 21 tahun.

Beliau kemudian meletak jawatan selepas skandal itu didedahkan media.

Keselamatan AS terjejas?
Hubungan sulit bukan sesuatu yang asing dalam kalangan pemimpin paling berkuasa di Washington tetapi skandal seks Petraeus, seorang jeneral tentera bertaraf empat bintang, melibatkan persoalan keselamatan negara serta kestabilan politik AS.

Menurut penganalisis, tiada bukti berlaku pencerobohan keselamatan akibat hubungan sulit itu namun itu tidak menghentikan persoalan sama ada Broadwell mempunyai akses kepada maklumat sulit ketenteraan.
Persoalan itu semakin kuat, minggu lalu, dengan penyiaran rakaman ucapan Broadwell di Universiti Denver yang dirakam bulan lalu.

“Saya tidak tahu kalau anda pernah mendengar hal ini, tetapi pejabat CIA (di kedutaan AS di Libya) menahan dua orang militan Libya dan mereka (CIA) percaya serangan ke atas konsulat itu adalah usaha puak militan untuk membebaskan tahanan ini,” kata Broadwell, merujuk kepada serangan di kedutaan AS di Benghazi yang membunuh duta AS, Chris Stevens dan dua pegawai CIA pada 11 September lalu.

Dakwaan Broadwell itu dinafikan pegawai perisikan yang ditemu ramah agensi berita CNN namun tiada bukti maklumat diperoleh Broadwell itu datang daripada Petraeus.

Sementara itu, akhbar The New York Times melaporkan penyiasat menjumpai dokumen rahsia di dalam komputer bimbit Broadwell tetapi Petraeus menafikan dia memberi sebarang maklumat rahsia kepada Broadwell.

Seorang bekas jeneral tentera AS, James Marks berkata, dia yakin tiada sebarang pencerobohan maklumat berlaku sepanjang skandal itu.

“Hampir kosong peratus kemungkinan bahawa keselamatan negara terancam akibat hubungan sulit ini,” katanya.

Peletakan jawatan Petraeus turut memalukan CIA yang telah pun dikritik akibat serangan di kedutaan AS di Libya serta menimbulkan lebih banyak persoalan oleh Kongres berhubung integriti agensi itu.

Siasatan FBI yang membawa kepada kemusnahan karier Petraeus juga menggambarkan hubungan tegang antara kedua agensi kerajaan paling berkuasa di AS.

Namun bekas penolong pengarah FBI, Chris Swecker berpendapat kejadian terbaru ini tidak akan menjejaskan operasi CIA.

“Realitinya, CIA akan sentiasa dikelilingi kontroversi kerana kedudukannya sebagai agensi perisikan,” katanya.

sinar/-

1 ulasan:

Tokwan Pencen berkata...

Tewas manusia kerana "Tahta, Harta, Wanita"
Nafsu serakah mambawa kelembah hina.