02 November 2012

PRU tangguh ekoran kes Nazri, Chia dan Musa

17 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Lajim kertika diwawancara oleh wartawan Harakah)

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum agak sukar diadakan dalam waktu terdekat walaupun masih ada desas desus yang mengatakan pilihan raya akan diadakan tahun ini juga.

Ini berikutan tragedi yang mengaitkan rakan perniagaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz iaitu taikun pembalakan Sabah, Michael Chia yang tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong baru-baru ini.

Ketika disiasat, Michael Chia dikatakan memaklumkan itu bukan duit beliau tetapi duit milik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah bukannya milik pribadi Musa Aman.

Ekoran itu, pelbagai pihak tertarik untuk mengetahui apakah cerita di sebalik semua ini.

Semalam Nazri dilaporkan berkata, apa salahnya anak beliau menggunakan kenderaan mewah yang didaftarkan atas nama Michael Chia.

Di samping itu, secara berseloroh, beliau berkata, apa yang berlaku antara Chia dan anaknya tiada kena mengena dengannya kerana anaknya sudah dewasa.

Beliau memberitahu pemberita soal Chia telah memberi sebuah kereta kepada Nedim, perlu dirujuk kepada kedua-dua mereka.

"Itulah antara anak saya dan Michael Chia ... Jika dia mahu beri Hummer atau Ferrari, itulah urusan Michael Chia."

(Pemimpin PKR menunjukkan gambar Hummer berharga lebih RM450, 000 yang didaftar atas nama Chia tetapi digunakan oleh anak Nazri, Nedim. Foto Malaysiakini)

Bagaimanapun, Nazri mengakui mengenali Chia secara peribadi dan pernah ke Dubai bersama dengan Chia, tetapi atas perbelanjaannya sendiri.

Nedim, anak sulong Nazri, didakwa menggunakan sebuah SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin pula dalam wawancaranya dengan Harakah meminta agar SPRM menyiasat semua ini khasnya kekayaan luar biasa Musa Aman.

"Saya tidak nafikan Musa Aman seorang ahli perniagaan yang berjaya, tetapi yang saya persoalkan bagaimana setelah Musa memegang jawatan KM Sabah, bagaimana beliau boleh tambahkan kekayaannya, sedangkan beliau tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam syarikat dan tidak boleh memiliki syarikat sendiri.

"Itu yang menjadi persoalan rakyat sekarang sedangkan mengikut laporan wangnya berjumlah bukan jutaan malahan bilion.

"Jadi pihak berkuasa sepatutnya siasat dan di sini tidak boleh timbul isu pilih kasih," kata Lajim dalam wawancara dengan Harakah itu.

Baca penuh wawancara Lajim dengan Harakah Ahad ini.

harakah/-

Tiada ulasan: