02 November 2012

Usaha pulih AS lambat

17 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 

NEW YORK - Bunyi tren bawah tanah kedengaran buat kali pertama semalam dalam tempoh empat hari yang merupakan antara petanda awal bahawa bandar raya yang menjadi ikon kemodenan Amerika Syarikat (AS) itu kini semakin pulih selepas lumpuh dilanda taufan Sandy. 

Namun, di kebanyakan kawasan lain di Pantai Timur AS, berjuta-juta orang kini mengalami kekurangan petrol dan diesel, selain ketiadaan bekalan elektrik.

Sekitar enam juta kediaman dan premis perniagaan di 15 buah negeri di AS masih terputus bekalan elektrik setakat kelmarin.

"Saya terpaksa bergelap dan memerlukan petrol untuk menghidupkan generator di rumah," kata seorang lelaki, Abdul Rahim Anwar di sebuah stesen petrol di Brooklyn di sini.

Ketika ini, pasukan-pasukan penyelamat masih bergelut untuk sampai ke beberapa kawasan paling teruk terjejas akibat bencana besar tersebut.

Sekurang-kurangnya 76 orang terkorban dalam malapetaka itu di AS sejak Isnin lalu dengan pihak berkuasa memberitahu, angka korban dijangka terus meningkat selepas anggota-anggota penyelamat melakukan operasi mencari mangsa dari rumah ke rumah di beberapa bandar pesisir pantai di rantau berkenaan.

Pihak berkuasa AS menyatakan, Sandy mendatangkan kerugian AS$200 juta (RM610 juta) sehari akibat kehilangan aktiviti, manakala anggaran kerugian keseluruhan mencecah AS$15 bilion (RM45.7 bilion).

Ribut berkenaan yang meliputi kawasan seluas 1,609 kilometer dan bertiup selaju 130 kilometer sejam kini bergerak ke utara menuju ke negeri Pennsylvania dan Kanada. 

kosmo/ -

Tiada ulasan: