12 Disember 2012

Felda saman, Mazlan sedia ke mahkamah

28 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempertahankan dakwaan bahawa Felda menjual minyak sawit mentah kepada syarikat Israel.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga tidak akan memohon maaf, menarik balik dan menawarkan pampasan setimpal kepada Felda seperti yang diminta Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Samad.

"Kalau Felda minta saya minta maaf dalam masa 14 hari, saya tak akan buat begitu.

"Saya tak akan berganjak dari dakwaan saya dan saya bersedia dengan bukti lengkap untuk dibawa ke mahkamah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Felda pada semalam dan kelmarin menghantar notis tuntutan kepada Mazlan, akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Dalam notis tersebut, Felda memberi tempoh 14 hari kepada pihak terbabit untuk memohon maaf, menarik balik kenyataan itu dan menawarkan pampasan yang setimpal kepada Felda di atas tindakan mereka.

Jika pihak terbabit gagal berbuat demikian, Felda akan mengarahkan pihak peguam meneruskan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tindakan tersebut menunjukkan Felda berada dalam keadaan terdesak.

"Ini hanya menampakkan Felda terdesak sehingga mengambil tindakan undnag-undang sedangkan kita ada bukti.

"Saya juga berasa lucu dengan kenyataan Isa Samad bahawa invois yang saya dedahkan itu berkaitan getah, bukan kelapa sawit.

"Bagaimana dia seorang pengerusi tidak tahu urusan jual beli yang dilakukan Felda," katanya.

harakah/-

Tiada ulasan: