18 Januari 2013

Jakarta Dilanda Banjir Besar, 8 Maut

6 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Banjir besar: 8 maut, Jakarta diisytihar darurat

Kejadian banjir besar yang melanda kotaraya Jakarta sejak Selasa lepas telah mengorbankan lapan orang dan 15,447 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir setakat ini.

Berikutan keadaan banjir semakin buruk semalam hingga melumpuhkan aktiviti harian warga kota, kerajaan pentadbiran ibukota Jakarta telah mengisytiharkan keadaan darurat bencana banjir hingga 27 Januari ini.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sejumlah 44 kawasan penempatan di 25 daerah kecil di Jakarta terjejas membabitkan penduduk berjumlah 94,624 orang.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan ibu negara (wanita pertama) Ibu Ani Yudhoyono turut meninjau beberapa kawasan penempatan penduduk yang dilanda banjir.

Gabenor Jakarta Joko Widodo turut meninjau ke kawasan banjir di pusat bandar dan beberapa kawasan penempatan penduduk, secara berasingan. - Bernama

Tiada ulasan: