18 Januari 2013

‘Saya rasa van bergegar’

pix_topright6 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Bukit Beruntung: “Saya dengar dentuman kuat dari luar dan van dinaiki bergegar,” kata mangsa kemalangan, Muhd Izz Sirhan Salahuddin, 12, menceritakan detik cemas kemalangan membabitkan van sekolah dengan sebuah lori 10 tan, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.15 petang di Jalan Bukit Beruntung ke Rawang berhampiran persimpangan lampu isyarat berdekatan Pusat Perniagaan Adenium dekat sini ketika dia bersama lima rakannya dalam perjalanan dari Taman Melur ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Sentosa Fasa 3 di sini.

Van sekolah dipandu pemuda berusia 20-an itu merempuh lori yang dipercayai membuat pusingan ‘U’ di persimpangan itu. Katanya, dua rakannya dikenali Meor Muhammad Nur Hakim Meor Muhammad Ridzwan dan Muhammad Danish Azhar berumur 11 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dengan bantuan orang ramai.
“Ada rakan menjerit memanggil ibu dan ayah kerana terkejut.

“Saya cedera di kepala. Manakala tiga rakan lain berumur 11 tahun tidak cedera dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di sebuah klinik swasta,” katanya yang ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Saksi kejadian, Muhd Fauzi Misnan, 44, berkata, ketika kejadian dia menjamu selera di sebuah restoran berhadapan tempat kejadian.

Katanya, dia bergegas ke lokasi apabila mendengar suara kanak-kanak meraung kesakitan dan mendapati mereka berlumuran darah di muka,” katanya.

“Saya terharu dengan tindakan pantas orang ramai membantu menyelamatkan mangsa yang tersepit pada dinding van sekolah itu.

“ Kasihan mendengar ada yang merintih dan menangis setelah terbabit dengan kemalangan itu,” katanya yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

metro/-

Tiada ulasan: