18 Januari 2013

Tarikh PRU ditentukan ‘Bomoh’ Najib – Azmin

6 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

SABAH:  Secara sinis Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali berkata, tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia berbeza dengan negara lain kerana ia  ditentukan  ‘bomoh’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagaimana tarikh pilihan raya di tentukan oleh bomoh, ini demokrasi apa?  Kita (pembangkang) hanya diberi tempoh seminggu untuk berkempen.

“Hanya tiga orang yang tahu tarikh PRU ke-13, yang pertama (Datin Seri) Rosmah (Mansor),  (Datuk Seri) Najib (Razak) dan ketiga mungkin bomoh Najib,” katanya semasa melancarkan jentera pilihan raya Cabang Tuaran.

Tarikh pilihan raya sebelum ini sering menjadi isu yang ditimbulkan Pakatan Rakyat memandangkan  ia  hanya  ditentukan oleh seorang individu iaitu perdana menteri.

Berbeza di negara maju yang lain, tarikh pilihan raya kebiasaanya diumumkan lebih awal beberapa bulan oleh parti pemerintah, sebagai persediaan kepada parti-parti politik bertanding.

Azmin turut menyelar kenyataan Najib kononnya pembangkang diberi peluang berceramah setiap malam tetapi pada masa sama menafikan hak parti itu memperkenalkan dasar Buku Jingga di media arus perdana.
“Tetapi Najib memberitahu beberapa hari lalu, kenyataan yang kita tidak pernah dengan sebelum ini, bahawa pembangkang berkempen setiap malam ceramah.

“Ya, sebab itu tanggungjawab kita untuk turun memberikan maklumat kepada rakyat dan pengundi kerana dalam sistem demokrasi, adalah menjadi hak rakyat untuk mendapat maklumat tepat sebelum mereka membuat penilaian sewajarnya,” tegas Azmin.

Turut serta dalam majlis itu, Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah, bekas Jurulatih bola sepak Sabah, Kelly Tham, pimpinan parti dari beberapa Cabang seluruh negeri serta kira-kira 130 rakyat pelbagai kaum Sabah.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: