15 Mac 2013

Buruh mati tertimbus

3 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Buruh mati tertimbus

Lokasi tapak pembinaan yang melibatkan tanah runtuh sehingga mengorbankan satu nyawa.
JOHOR BAHRU – Seorang buruh sebuah tapak projek pembinaan rumah kedai dua tingkat berhampiran sebuah sekolah kebangsaan di Taman Cempaka, di sini maut akibat tertimbus tanah runtuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 2 petang ketika mangsa, Muhamad Hasan, 36, yang berasal dari Indonesia sedang menjalankan kerjanya.

“Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menjalankan kerja-kerja menanam paip bagi pembinaan longkang di tapak projek berkenaan.

“Bagaimanapun, berlaku runtuhan tanah di kawasan tempatnya melakukan kerja sedalam lapan kaki.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa tertimbus ke dalam tanah dan gagal selamatkan diri,” katanya.

Eng Lai berkata, mangsa dibawa keluar dari runtuhan oleh rakan-rakannya dengan menggunakan jentolak dalam cubaan menyelamatkannya namun mangsa telah meninggal dunia.

 “Ketika kejadian, mangsa seorang diri di kawasan itu namun kejadian disedari empat pekerja lain yang turut menjalankan tugas di situ.

“Pekerja lain cuba mengorek tanah bagi menyelamatkan mangsa namun gagal,” katanya.

Mayat mangsa  dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada mangsa lain dilaporkan cedera atau terkorban.

Sementara itu, seorang pekerja yang dikenali sebagai Sokarno berkata, kejadian berlaku ketika pekerja sedang memulakan tugas selepas waktu makan tengah hari.

“Ini merupakan kejadian pertama berlaku sejak saya bekerja di sini, kami gagal selamatkan dia walaupun berjaya bawa dia naik,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: