3 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
BUKIT GEMURUH - Ibarat rumah siap pahat berbunyi. Begitulah yang dialami segelintir penduduk menerima rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kecewa dan terkilan kerana masih belum menerima bekalan elektrik.
Mereka mendakwa sejak rumah itu dibina pada 2009 sehingga sekarang, pemasangan kabel dan meter elektrik sering ditangguhkan.
Difahamkan, mereka terpaksa menyambung wayar dari kabel rumah berdekatan bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan tersebut.
Menurut Dhalan Balik, 34, semasa menerima rumah itu empat tahun lalu, dia mengemas dan menghias rumahnya supaya keluarganya boleh terus menetap di sana.
“Saya cat dinding dan pasang langsir kerana gembira nak masuk rumah baru. Tapi, saya kecewa kerana sampai sekarang kami masih duduk di rumah lama.
“Kalau setakat nak letak barang bolehlah. Kalau nak tidur, memang kami menginap di rumah lama yang hampir usang,” katanya.
Sambung kabel sejauh 300 meter
Ada juga pemilik rumah PPRT terpaksa menyambung kabel sejauh 300 meter semata-mata untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Haslina Remoi Ket, 31, berkata, dia mendapatkan bekalan elektrik dari rumah asal bapanya supaya boleh menonton televisyen dan mengecas telefon bimbit.
Menurutnya, setiap malam dia terpaksa menggunakan lilin dan sanggup berpanas kerana kipas tidak berfungsi.
“Saya tak faham kenapa pihak berkenaan tak boleh pasang kabel sedangkan rumah asal bapa saya yang jauh dari simpang ini boleh dapat bekalan elektrik.
“Jadi, saya berkongsi bayar bil elektrik dengan bapa,” katanya.
Menurut Haslina, ada beberapa rumah lagi mengalami nasib yang sama tetapi tiada tindakan diambil walaupun sudah dilaporkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Daerah.
Katanya, pelbagai alasan diberikan termasuk meminta penduduk bersabar sehingga memperoleh kemudahan itu sedangkan penduduk sudah menunggu terlalu lama untuk menikmati kemudahan tersebut.
Sepakat bangkit isu
Tinjauan Sinar Harian bersama PKR ke sini, lebih lima rumah PPRT masih belum menerima bekalan elektrik.
Timbalan Ketua Ranting Bukit Gemuruh, Mohd Sam Katar berkata, selepas ini, PKR akan mengumpulkan pemilik rumah yang bermasalah ini ke pejabat Jakoa secara beramai-ramai untuk memprotes masalah ini.
Katanya, sebagai rakyat, mereka berhak menerima kemudahan tersebut dan tempoh empat tahun adalah terlalu lama.
“Kita akan berbincang dengan Jakoa dalam masa terdekat dan kalau tidak berjaya, kita tidak teragak-agak mengadakan perhimpunan aman untuk menuntut hak mereka,” katanya.
Isu akan disiasat
Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada Adun Kemayan, Mohd Fadil Osman mengenai isu berkenaan.
Menurutnya, pihaknya tidak mendapat makluman mengenai perkara itu sama ada daripada penduduk, ketua masyarakat dan Jakoa.
Bagaimanapun, beliau akan menyiasat perkara ini dan cuba menyelesaikan dengan cara terbaik.
“Setahu saya, hanya rumah PPRT yang dibina pada dan sebelum 2004 sahaja tidak termasuk dalam bajet pendawaian kabel elektrik manakala selepas tahun tersebut barulah kos pendawaian kabel ditanggung.
“Saya tidak terima apa-apa aduan atau maklumat mengenai perkara ini, tapi saya akan siasat segera,” katanya.
Beliau menegaskan, seharusnya apabila Jakoa gagal menyelesaikan isu sebelum ini, mereka berbincang dengannya supaya ia tidak membebankan penduduk seperti yang berlaku pada hari ini.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan