15 Mac 2013

Kerajaan negeri bakal bina flat

3 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kerajaan negeri bakal bina flat

Husam (dua kiri) menyerahkan Sijil Skim Pinjaman Mudah Tanpa Faedah Dataran Rakyat kepada Peniaga- peniaga Kecil di Dataran Rakyat Bandar Baru Tunjung, semalam.
KOTA BHARU- Kerajaan negeri komited memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri kerana menyedari kediaman selesa dan mampu milik adalah keperluan asas yang utama bagi rakyat.
Exconya, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan negeri melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), iaitu PMBk Sawit kini dalam rangka membina flat bagi memberi kemudahan kepada rakyat yang kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri.
“Pembinaan flat itu dicadangkan PMBK Sawit yang bertanggungjawab memberi sumbangan berjumlah RM1.5 juta untuk membeli tanah seluas 1.2 hektar berhampiran Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Sumbangan tersebut hasil keuntungan PMBK Sawit pada 2012 dan ia sebagai tanggungjawab sosial korporat perbadanan ini terhadap rakyat,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sijil Skim Pinjaman Mudah Tanpa Faedah Dataran Rakyat kepada Peniaga- peniaga Kecil di Dataran Rakyat Bandar Baru Tunjung di sini, semalam.
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri berkata, harga flat yang belum ditentukan unitnya itu antara RM30, 000 hingga RM60, 000 seunit.
“Bagaimanapun harga muktamad akan ditentukan pemaju atau peneraju utama anak-anak syarikat kerajaan negeri yang ditugaskan nanti,” katanya.
Beliau berkata, konsep pinjaman mudah mungkin akan digunakan dalam urus niaga flat berkenaan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan miskin dapat memiliki rumah.
Dalam itu, Husam ketika mengulas perkembangan projek Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai berkata, apa yang sedang dilaksanakan kini adalah di atas tanah kerajaan yang tidak melibatkan pengambilan tanah.
“Gazet Sesyen 4 di semua laluan lebuh raya dari Kota Bharu dan Kuala Krai telah diluluskan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan enam bulan dari sekarang dipanggil Gazet Sesyen 8, yang melibatkan proses pembayaran kepada tuan tanah,” katanya.
Menurutnya, pembayaran akan dilakukan dalam dua bentuk sama ada pertukaran dengan tanah kerajaan sedia ada atau mendapatkan wang untuk nilaian tanah tersebut.
“Mana- mana pemilik tanah yang ingin mendapatkan kembali tanah mereka, boleh mengambilnya dengan nilai yang setara dengan tanah diserahkan kepada kerajaan. Kalau dia tak nak tanah dan inginkan duit, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200 juta menerusi pembiayaan Baghdad, anak syarikat yang menerajui pembinaan lebuh raya,” katanya.
Sinar harian/-

Tiada ulasan: